82 PENGUNJUNG DIPERIKSA PENGURUS PREMIS DITAHAN OPERASI LEBIH MASA

PENAMPANG : Seramai 82 orang telah diperiksa dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) dan Balai Polis Penampang, di sebuah pusat hiburan, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihak polis telah menahan seorang pengurus pusat hiburan berkenaan di atas kesalahan premis beroperasi hiburan awam lebih masa dan merampas pelbagai peralatan muzik milik premis.
“Individu yang ditahan dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut pihak polis mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam (PEO) 1958,” katanya.
Sehubungan dengan itu, pihak polis akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi serta menasihatkan pengusaha premis-premis hiburan di daerah ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. -SABAH NEWS TODAY