Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjaya menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI), di Kampung Sri Pantai, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, semua PATI terbabit dikesan selepas didapati menaiki dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kejadian disedari sepasukan anggota keselamatan yang sedang melakukan rondaan Op Cegah Pati (OCP) Daratan di kawasan berkenaan.
Katanya, kenderaan pertama jenis Toyota Corolla Wagon yang ditahan didapati dinaiki seorang pemandu bersama dua penumpang tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Manakala sebuah lagi kenderaan Proton Saga pula didapati dinaiki tujuh individu yang turut tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.
“Siasatan lanjut terhadap semua PATI mendapati, mereka dipercayai baru tiba di daerah ini daripada Nunukan, Indonesia,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Ahmad Fuad berkata, dalam kejadian itu, pihaknya turut menahan dua individu yang bertindak sebagai tekong selain menyita kedua-dua kenderaan yang digunakan.
“Semua tahanan terdiri dari lapan lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 1 hingga 36 tahun.
“Mereka kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63”, katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Fuad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi keselamatan yang terbabit dalam menjayakan Op Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM di daerah ini.
Katanya, kejayaan itu adalah hasil kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh semua pihak terutamanya dalam menggagalkan taktik PATI yang menggunakan lorong-lorong tikus untuk memasuki negara ini secara haram.
“ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan di ESSZONE yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus memperketatkan kawalan keselamatan di sempadan perairan dan daratan.
“ESSZONE akan terus melakukan rondaan dan pemantauan secara agresif melalui pelaksanaan OP Cegah Pati (OCP) dengan menggunakan dan mengadaptasikan konsep “show of presence” bagi mengawal dan mengekang kemasukan PATI,” katanya.
Ahmad Fuad berkata, ia juga salah satu usaha kita untuk memutuskan rangkaian COVID-19 daripada di bawa masuk ke negara ini melalui PATI. – Asia Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ