902 kes keganasan rumah tangga dalam 4 bulan pertama 2021

Sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga dilaporkan, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, sebanyak 5,260 kertas siasatan sudah dibuka membabitkan kes keganasan rumah tangga bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas, menurut polis.

Katanya, statistik oleh kementerian melalui talian bantuan “Talian Kasih”, menerima sebanyak 2,540 panggilan berkaitan kes keganasan rumah tangga, di mana rata-ratanya berpunca daripada masalah tekanan ekonomi, akibat pendapatan terjejas.

“Mungkin ada ramai yang terjejas pendapatan atau hilang kerja. Apabila mereka tinggal di rumah, bila nak keluar ada had pergerakan dan sebagainya, maka banyak antara mereka luahkan tekanan perasaan (keganasan) itu kepada keluarga,” katanya, menurut laporan Bernama.

Rina berkata, statistik itu ternyata menunjukkan isu keganasan rumah tangga memerlukan intervensi dan kerjasama pelbagai pihak.

Sehubungan dengan itu, pihaknya hasil kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memilih dua masjid iaitu Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail sebagai pusat transit keganasan rumah tangga.

Masjid itu menyediakan kemudahan bilik asrama sedia ada di masjid, keperluan asas diri serta makan minum sepanjang keberadaan mereka di situ.

“Dalam menyantuni mangsa keganasan rumah tangga di pusat transit ini kelak, setiap mangsa akan dibekalkan dengan kit persalinan mengandungi baju dan seluar, selimut, tuala mandi, peralatan mandi dan keperluan asas wanita,” katanya.

Beliau berkata, seramai 19 pegawai JAWI juga telah menjalani sesi latihan Skuad Wanita Anti Jenayah (WAJA) sebagai rujukan oleh pegawai JAWI yang dilantik bertugas di pusat transit itu nanti.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail, berkata 12 masjid dipilih menjadi pusat aduan dan khidmat kaunseling kepada mangsa keganasan rumah tangga dan mereka yang memerlukan khidmat nasihat, sokongan psikologi serta kaunseling.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad, berkata projek berkenaan bertujuan menyerlahkan lagi fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada segenap lapisan masyarakat meliputi keperluan psikososial dan spritual.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *