KOTA KINABALU: Seramai 99 graduan antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menamatkan pengajian dan menerima ijazah dalam pelbagai bidang pada Majlis Konvokesyen UMS ke-23.
Kesemua pelajar tersebut berasal dari beberapa buah negara termasuklah China, Brunei, Indonesia, Bangladesh, Timor Leste, Pakistan, Korea Selatan, Iran, Zanzibar, Vanuatu, Arab Saudi dan India.
Seorang graduan dari Korea Selatan, Choi Sangryeol, 25, turut menjadi penerima Anugerah Tun Zaki pada majlis yang berlangsung pada 25-27 Jun 2022.
Ketika ditemui, Choi memberitahu beliau sangat senang dengan budaya masyarakat di Sabah dan bergaul bersama pelajar-pelajar di UMS.
“Saya berterima kasih kepada para pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan bimbingan dan tunjuk ajar sepanjang pengajian di sini.

“Saya juga mengucap syukur dan merakamkan penghargaan atas pemberian anugerah ini. Ia merupakan satu pencapaian yang terindah dalam perjalanan saya sebagai pelajar dan graduan UMS,” katanya.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa itu berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.73.
Dalam pada itu, satu sesi ramah mesra antara pihak pengurusan tertinggi universiti bersama graduan antarabangsa telah diadakan kelmarin.
Program yang dikenali sebagai “Meet and Greet Session with 2021 International Graduates” itu dianjurkan Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS.
Ia turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan.
Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua graduan dan mendoakan mereka agar terus sukses dalam apa juga bidang yang diceburi.
Turut hadir, Naib Canselor UMS Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, Pendaftar Luqman Ridha Anwar, Pengarah PPPG Prof. Dr. Ho Chong Mun, dan Timbalan Pengarah PPPG Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din.

More Stories
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ
Warga UMS Jayakan ‘Jom Baca’ dan Pelancaran Kapsul Masa Digital 2035
Pengurusan makanan dan amalan pengilangan baik penentu kualiti industri makanan negara