BARANG KAWALAN BERNILAI RM 17 JUTA DIRAMPAS PADA TAHUN INI

ACP Haji Mohamad Pajeri Ali

By Faizal Rahman

LAHAD DATU :  Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah berjaya menumpas sebanyak 70 kes cubaan menyeludup barang kawalan dari Sabah dalam tempoh bulan Januari hingga Ogos ini.

Sepanjang tempoh berkenaan telah menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding tahun lepas iaitu 70 kes pada tahun 2019 manakala 56 kes pada tahun 2018, peningkatan sebanyak 14 kes, kata Komander PPM Sabah ACP Haji Mohamad Pajeri Ali. 

“Nilai rampasan pada tahun 2018 ialah sebanyak RM 5 juta berbanding RM 17 juta untuk Januari hingga Ogos 2019, peningkatan RM 12 juta,” kata Mohamad Pajeri.

Tangkapan yang dihasilkan adalah hasil operasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah (KPDNHEP) yang dilaksanakan berdasarkan maklumat yang diterima, tambah beliau.

Rampasan melibatkan barang kawalan seperti tong gas, gula, minyak masak, tepung gandum, minyak petrol, minyak diesel, ayam, roti dan sebagainya, katanya lagi.

Sementara itu, Modus Operandi yang selalu digunakan oleh sindiket kebiasaannya menyeludup keluar daripada Bandar Tawau, Sabah ke Pulau Sebatik sebelum terus dibawa masuk ke Negara Indonesia, kata Mohamad Pajeri.

“Barang kawalan ini dibawa dengan disembunyikan di bawah tempat simpanan perahu atau kapal. Kesemua barang rampasan akan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin untuk tindakan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961,” kata Mohamad Pajeri.

Menurut Mohamad Pajeri, barang kawalan diseludup di Sabah mendapat perhatian Pasukan Polis Marin Sabah bagi membanteras kegiatan dibawa masuk dan keluar daripada negeri ini.