Koperasi Sekolah realisasi matlamat utama FPN

Awang Husaini (duduk tengah), Siti Salmiah dan Zaidi bergambar bersama barisan guru SMK Tansau, Penampang.

Oleh: Nio James

…ia memantapkan bakat, keterampilan pelajar dalam bidang keusahawanan

PUTATAN: Koperasi Sekolah telah diiktiraf sebagai salah satu aktiviti ko-kurikulum sekolah kerana faedah dan kepentingan aktiviti yang dilaksanakan secara langsung dapat merealisasikan matlamat utama Falsafah Pendidikan Negara (FPN).

Malah, kata Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Datuk Haji Awang Sahari, koperasi sekolah yang berlandaskan matlamat, jati diri dan perundangan koperasi berupaya menyediakan persekitaran sosial yang sihat iaitu melahirkan masyarakat yang sempurna, kreatif, progresif, bertanggungjawab dan berketrampilan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Koperasi Sekolah Kali Ke-5 dan Ekspo Pendidikan 2019 SMK Tansau, Penampang, di Dataran Datin Fatimah Ali, di sekolah itu pada Rabu.

Awang Husaini berkata, sekolah merupakan platform utama pembentukan kemenjadian murid yang cemerlang dan berketerampilan selari dengan hasrat Kementerian Pelajaran untuk menyuburkan tiga teras budaya iaitu kasih-mengasihi, hormat-menghormati dan kebahagian.

Oleh itu, katanya, Hari Koperasi Sekolah dan Ekspo Pendidikan 2019 ini, bersesuaian dengan harapan baharu kerajaan Malaysia iaitu untuk mengembalikan fungsi sekolah kepada landasan yang betul, tepat, dan sesuai bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih kondusif dan bermakna serta kaya dengan nilai-nilai murni dan juga nilai-nilai keusahawanan sebagai bekalan menempuh gerbang pekerjaan kelak.

Beliau berkata, pemimpin sekolah yang berkesan, guru yang berkualiti dan disokong oleh penglibatan masyarakat yang progresif adalah faktor utama dalam kemenjadian murid sebagai pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan.

Katanya, seiring dengan itu, matlamat koperasi sekolah adalah untuk memantapkan bakat dan keterampilan pelajar dalam bidang keusahawanan agar dapat mengurangkan kebergantungan tenaga kerja pada pekerjaan makan gaji semata-mata.

“Justeru, penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak berkepentingan demi kejayaan murid amatlah diharapkan oleh pihak sekolah.

Hal ini merupakan usaha ke arah melahirkan modal insan unggul melalui konsep yang melibatkan guru berkualiti, pemimpin berkesan serta sokongan PIBG dan komuniti bagi memastikan kemenjadian murid serta sekolah yang lebih berkualiti,” katanya.

Katanya, melalui program ini bukan sahaja diharap mampu menjadi pemangkin ke arah kejayaan yang lebih cemerlang malah dapat merapatkan lagi silaturahim warga sekolah dan masyarakat setempat dalam usaha untuk membantu meningkatkan lagi kecemerlangan murid.

“Saya berharap sekolah ini dapat merealisasikan agenda transformasi sekolah dengan jayanya walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan dan cabaran,” katanya.

Awang Sahari menyatakan kebanggaannya diatas pencapaian dan anugerah yang telah diterima oleh Koperasi SMK Tansau Berhad sehingga menjadi sekolah penanda aras atau ‘Bench Mark’ bagi sekolah-sekolah di seluruh Negeri Sabah khasnya dan di Malaysia amnya.                

“Kejayaan demi kejayaan telah dicapai oleh SMK Tansau atas kecemerlangan koperasi. Kecemerlangan ini adalah usaha keras semua pihak terutamanya golongan pelajar untuk terus maju dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Katanya, para pelajar perlu peka terhadap perkembangan dunia perniagaan kini yang banyak menggunakan teknologi misalnya perniagaan atas talian (online) yang mana pembelian dan penjualan barangan hanya ada dihujung jari anda kerana dunia perniagaan kini semakin canggih dengan pelbagai aplikasi atau laman sosial untuk kita menjual dan membeli produk yang terdapat di pasaran sekarang tanpa perlu berkunjung ke kedai atau premis perniagaan tersebut.

Koperasi Sekolah Kali ke-5 Dan Ekspo Pendidikan 2019 merupakan majlis untuk memberitahu kepada warga sekolah dan masyarakat setempat akan kewujudan koperasi sekolah dan peranan yang dimainkan untuk mendidik murid-murid supaya mempunyai jati diri yang murni selaras dengan prinsip, nilai dan amalan.

“Saya berpendapat inisiatif ini wajar dipuji kerana majlis sebegini berupaya menyuntik semangat dan inisiatif warga sekolah SMK Tansau untuk terus meningkatkan kreativiti dan produktiviti menerusi pengurusan koperasi sekolah yang lebih efektif dan bermakna,” katanya.

Saya yakin inisiatif ini sangat signifikan dan selaras dengan hasrat pihak Angkasa untuk mewujudkan ruang dan peluang yang ada untuk membina bakat keusahawanan, pengalaman berpersatuan, dan bantu-membantu dalam kalangan warga sekolah terutamanya golongan pelajar,” katanya.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah yang telah berpadu tenaga dan daya usaha untuk menganjurkan Hari Koperasi Sekolah Kali Ke-5 Dan Ekspo Pendidikan 2019.

“Semoga segala usaha murni kita pada hari ini untuk memartabatkan kecemerlangan pelajar dalam pelbagai bidang mendapat keberkatan-Nya dan mencapai matlamat dengan jayanya,” katanya.

Turut hadir Pengetua Cemerlang SMK Tansau Hajah Siti Salmiah Haji Samaie dan Yang Dipertua PIBG SMK Tansau, Zaidi Abdullah.