Mashor (duduk empat kiri) bersama pegawai-pegawai lain dan wakil persatuan pengangkutan semasa menghadiri majlis perbincangan dan dialog
SANDAKAN: Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) memandang serius isu keselamatan berkaitan pengangkutan balak di jalan-jalan awam di seluruh Negeri Sabah.
Sehubungan dengan itu pada Ogos 19, bertempat di Hotel Pan Borneo Putatan, Jabatan Perhutanan Sabah telah mengadakan majlis perbincangan dan dialog antara agensi-agensi penguatkuasa dan persatuan-persatuan pengusaha pengangkutan lori di negeri ini untuk mempastikan lori-lori yang menggunakan jalan raya awam tidak membawa muatan balak dengan cara yang membahayakan dan mematuhi spesifikasi lori dan had muatan seperti yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.
Majlis berkenaan yang telah dipengerusikan oleh Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Mohd Jaini telah menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya harus menjadi keutamaan syarikat-syarikat pengangkutan berbanding keuntungan semata-mata.
Semua syarikat pemilik lori yang mengangkut balak hendaklah mempastikan lori mereka memiliki cukai jalan yang sah, didaftarkan FD dengan Jabatan Perhutanan, disahkan selamat untuk digunakan oleh Puspakom, dipandu oleh pemandu kompeten yang memiliki lesen memandu dan GDL yang sah dan bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Muatan balak di atas lori hendaklah dipastikan selamat, mengikut dimensi ukuran dan berat yang dibenarkan dan ditutup sepenuhnya dengan kanvas dan perjalanan lori di jalanraya di urus masa perjalanannya pada waktu dan laluan yang sesuai supaya tidak menyulitkan pengguna jalanraya yang lain.
Mashor juga mengingatkan, netizen kini adalah lebih peka dan sentiasa memberi perhatian tentang cara lori-lori mengangkut balak.
Tambah beliau, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Traffik dan Jabatan Perhutanan akan sentiasa bekerjasama membuat operasi dan pemeriksaan untuk mempastikan semua peraturan ini dipatuhi.
“Tidak ada lagi kompromi terhadap lori-lori yang mengangkut balak dengan cara yang merbahaya dan tidak mengikut spesifikasi dan peraturan yang ditetapkan, jika ada lori dan syarikat pengangkutan ini yang ingkar, mereka akan menghadapi tindakan yang tegas termasuk denda kompaun yang berat, tindakan mahkamah dan pengharaman daripada mengangkut balak”, kata Mashor.
Selain pegawai-pegawai kanan Jabatan Perhutanan, pegawai dan agensi penguatkuasa pengangkutan jalan raya yang hadir dalam majlis perbincangan dan dialog ini termasuklah Setiausaha Hasil Bumi Sabah, Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Ketua Cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia Kota Kinabalu, Wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Wakil Jabatan Kerja Raya, Sabah.
Manakala persatuan pengusaha pengangkutan lori diwakili oleh Gabungan Persatuan Pengangkutan Lori Sabah, Persatuan Pengangkutan Lori Pantai Barat, Sandakan dan Tawau. Turut hadir ialah, Timbalan Presiden Persatuan Pembalak Sabah (TAS), Presiden Sabah Timber Industry Association, Presiden Persatuan Pengilang Perabut Sabah dan beberapa syarikat pengusaha dan pengeluar balak yang utama di Sabah.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ