Madius (duduk tengah), Dr. Marcus, Dr. Abdullah dan Dr. Rayner bergambar kenangan bersama para peserta persidangan itu.
Oleh: Nio James
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memperhebat penggunaan IoT (Internet of Things) dan pembelajaran mesin dalam meningkatkan produktiviti industri pertanian seperti industri padi, kelapa sawit dan rumpai laut.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, teknologi itu juga boleh digunakan untuk meningkatkan industri pelancongan di Sabah terutama, dengan mengumpulkan semua sumber dalam pelancongan, seperti hotel, pakej pelancongan dan perkhidmatan.
“Ia akan dipromosian dengan menggunakan e-commerce dan teknologi pembelajaran mesin, yang digunakan oleh Amazon dan Alibaba,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Kali Keenam mengenai Sains Pengkomputeran dan Teknologi 2019, di Hotel Hilton, disini pada Khamis.
Madius, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, dalam era baru ini, maklumat sedang berkembang pesat di internet.
Katanya, diantara maklumat ini, pendapat umum atau pengguna adalah penting dan digunakan secara meluas untuk mengukur persepsi orang awam mengenai isu atau produk untuk menghasilkan penyelesaian dan penambahbaikan.
“Pendapat ini boleh didapati dengan banyak di internet, tetapi mengumpul dan meringkaskannya adalah kerja manual yang membosankan,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian daripada analisa data untuk data tidak berstruktur termasuk analisis sentimen kandungan media sosial.
“Untuk ringkasan pendapat automatik, analisis sentimen adalah tugas yang paling penting kerana ia mengesan kutub sentimen dalam kalimat pendapat atau dokumen,” katanya.
Madius berkata, pelbagai jenis set data boleh dianalisa untuk mengekstrak sentimen tersembunyi untuk mengukur persepsi dan penerimaan orang awam terhadap isu tertentu seperti tinjauan filem, laman web mikroblog dan blog.
Katanya, analisa sentimen menjadi lebih penting kerana jumlah dokumen yang tidak berstruktur yang semakin meningkat dalam bentuk digital.
“Contohnya, menemui tindak balas dan pendapat orang awam terhadap produk boleh membantu syarikat pengeluaran meningkatkan produk mereka untuk meningkatkan jualan dan pendapatan.
Begitu juga, penemuan tindak balas dan pendapat awam terhadap beberapa dasar kerajaan yang baru dikuatkuasakan dapat membantu kerajaan memperbaiki perkhidmatan mereka kepada masyarakat,”katanya.
Katanya, walaupun kesannya lebih banyak mengenai perniagaan dan ekonomi terutamanya untuk analisia perniagaan dalam mengukur kepuasan pelanggan dan tinjauan pasaran, ini secara tidak langsung mempunyai kesan ke atas ekonomi dan negara di mana produk itu berasal.
“Menarik pendapat sosial terhadap trend dan isu boleh memberi kesan kepada masyarakat dengan cara yang lebih baik untuk memahami pendirian dan nilai generasi yang berbeza.
Ini banyak membantu dalam mentransformasi e-kerajaan Sabah sedia ada kepada kerajaan pintar,” katanya.
Turut hadir Penolong Naib Canselor UMS Prof Dr Marcus Jiponi, Dekan Fakulti Pengkomputeran dan Maklumat, UMS Prof. Dr. Abdullah Gani dan Pengerusi Penganjur Persidangan, Prof. Dr Madya Dr. Rayner Alfred.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ