Oleh Kahar Ali
SANDAKAN : Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, tidak mempersoalkan sumbangan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Peter Hii kepada masyarakat disini selama tempoh perkhidmatan beliau sebagai Presiden.
Apa yang menjadi keutamaan, sebagai wakil rakyat, Wong berkata, dia bertanggungjawab untuk membawa suara rakyat ke Parlimen dan perlu membawa ketidakpuasan rakyat kepada setiap pihak berkuasa tempatan, termasuk Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).
Beliau menyatakan demikian sebagai jawapan balasnya yang mana Hii dikatakan menyeru agar Ahli Parlimen Sandakan tidak membuat komen mengenai urusan eksekutif MPS.
Wong menekankan Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negeri sebelum ini menentang sistem mengutip yuran pakir di kawasan 11 bandar satelit Sandakan.
Hal ini bagaimanapun tidak bermakna mereka mahu campur tangan dalam urusan kerajaan tempatan.
“Tetapi masyarakat mempunyai suara dan luahan yang tidak berpuas hati dengan perkembangan ini. Dan untuk itu, pihak kita perlu bersuara untuk rakyat.” Jelasnya.
Selari dengan itu, Wong juga berharap dan menggesa agar MPS dapat menyenaraikan pendapatan dari sistem kutipan yuran pakir di 11 kawasan bandar satelit berkenaan kelak dan menjelaskan kepada pengguna serta penduduk tentang bagaimana pendapatan yuran pakir ini akan digunakan dengan baik untuk kemudahan daerah ini.
Tambahnya, sekiranya MPS boleh memenuhi perjanjian mereka bahawa akan menggunakan pendapatan yuran pakir ini untuk tujuan penguatkuasaan dan menyelesaikan masalah kehidupan rakyat, ia dilihat sebagai satu perkara yang positif.
Ini termasuk untuk kegunaan menambah lampu jalan, memperbaiki dan menyelenggara jalan raya serta memastikan kebersihan kawasan pakir dapat menunjukkan prestasi yang baik serta hal-hal berkenaan yang lain.
“Maka dengan ini, isu kutipan yuran pakir di 11 kawasan yang ditentukan pihak MPS dan kelulusan daripada kementerian itu tidak akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan kegusaran dalam kalangan pengguna dan masyarakat.” Tambahnya.
Wong berkata demikian dalam satu kenyataan disini pada Selasa.
Dalam pada itu, Wong berkata, harga tiket parkir bulanan sebanyak RM80 yang dikeluarkan oleh MPS juga adalah dilihat lebih tinggi berbanding dengan di tempat lain.
“Kita berpendapat, sekiranya pihak berkuasa ini dapat membuat pelarasan untuk menurunkan harga tiket parkir bulanan sehingga ke RM50, beban ekonomi golongan pekerja juga akan dapat dikurangkan.” Ujarnya.
Wong menambah, mengambil contoh tiket parkir bulanan yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, ia hanya berharga sekitar RM53.90.
“Saya fikir bahawa pihak MPS juga akan dapat mengambil ia sebagai contoh dan mengeluarkan harga tiket parkir bulanan yang lebih murah.” Katanya.
Ini dengan memikirkan keadaan semasa golongan pekerja dan membantu mengurangkan beban kewangan mereka.
Sementara itu, Wong berkata, beliau juga akan terus memberi perhatian dan mengkuti perkembangan serta pengumuman semasa daripada Presiden MPS berkenaan pembangunan daerah ini.
Ini termasuk keperluan pemasasangan lampu jalan di Batu Lima, Jalan Sibuga, disini.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ