Pertandingan Menghias Kedai Foh Sang…

Phoong (tengah) bersama jawatankuasa penganjur dan para artis daripada ideologi designer studio dan studio common menunjukkan isyarat `bagus’.

Oleh: Nio James

…sempena Festival Kuih Bulan pada 21 September 2019

KOTA KINABALU: Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang dengan kerjasama ideologi designer studio dan studio common akan menganjurkan pertandingan menghias Kedai Foh Sang.

Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe berkata, pertandingan itu diadakan bersempena Festival Kuih Bulan yang akan diadakan pada 21 September 2019.

“Karnival Kuih Bulan Foh Sang merupakan acara tahunan yang diadakan pada setiap perayaan kuih bulan dengan mengadakan beberapa acara bagi memeriahkan suasana perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai persiapan penganjuran Festival Kuih Bulan Foh Sang, di pejabat Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang, dekat sini, semalam.

Phoong berkata, sebanyak 24 kedai di Foh Sang telah pun mengesahkan penyertaan dan pihak penganjur telah menyediakan hadiah wang tunai, dimana juara pertandingan menghias kedai Foh Sang akan menerima hadiah wang tunai RM5,000.

Naib juara dan tempat ketiga masing-masimg akan menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan RM2,000. Lima hadiah saguh hati masing-masing akan menrma wang tunai RM200.

“Tahun lepas kita telah mengadakan pertandingan membuat tanglung dan pada tahun ini kita mengadakan pertandingan menghias kedai Foh Sang.

Ini merupakan inisiatif baru dan terima kasih kepada dua rakan utama iaitu ideologi design studio dan common design studio untuk turut serta dalam menjayakan acara ini. Mereka telah memberikan inisiatif yang bermakna kepada komuniti Foh Sang,” katanya.

Phoong berkata, kedai Foh Sang adalah kedai yang lama, yang hanya mempunyai kira-kira 30 lot hedai di sepanjang dua barisan kedai sebagai pusat membeli belah penduduk Foh Sang.

“Disinilah tempat mereka membeli sayur-sayuran, buah-buahan. Malah menjadi pusat beristirehat (lepak) menikmati minuman kopi, makan roti dan sebagainya.

Kedai Foh Sang merupakan hab yang amat penting kepada komuniti Foh Sang dan Luyang,” katanya.

Phoong berharap hiasan kedai itu nanti akan membawa lebih banyak nilai kesenian untuk kedai-kedai di Foh Sang.

“Kita mahu membawa elemen kesenian kepada komuniti Foh Sang. Ini adalah satu inisiatif yang kita adakan untuk merayakan festival kuih bulan yang akan datang,” katanya.

Phoong berkata, pertandingan itu merupakan satu projek komuniti dengan persetujuan daripada kedai dan juga artis.

“Kita juga telah mendapat persetujuan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mencantikkan kedai Foh Sang,” katanya.