PGA TAHAN 4 PATI DAN RAMPAS 1 PAKET PLASTIK LUTSINAR DISYAKI SYABU

Antara saspek yang ditahan oleh PGA Batalion 14 di Simpang 4, Batu 10 Kalabakan semalam

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU : Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 di sini telah menahan 4 pendatang asing (PATI) dan merampas 1 paket plastik lutsinar disyaki syabu, dekat sini, pada Ahad.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) DCP Dato’ Hazani Ghazali dalam satu kenyataan di sini berkata kesemua saspek yang berumur  22-41 tahun ditahan oleh sepasukan anggota strike force yang sedang melakukan tugas risik dan rondaan di kawasan Simpang 4, Batu 10, Kalabakan kira-kira pukul 8.30 malam.

Beliau berkata ketika kejadian, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota PGA yang sedang membuat tugas risikan telah memeriksa 3 buah motorsikal yang dinaiki 5 lelaki yang datang secara berasingan di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan badan, menemui 1 paket plastik lutsinar didalamnya hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dan sebutir peluru hidup yang disembunyikan di dalam beg sandang salah seorang daripada saspek”, katanya.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut juga mendapati 4 daripada saspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala kesemuanya didapati positif dadah.

Hazani berkata siasatan lanjut terhadap salah seorang saspek yang didapati memiliki sebutir peluru hidup, membawa kepada penemuan selaras senapang (Bakakuk) bersama 2 butir peluru hidup yang dijumpai di dalam semak ladang kelapa sawit tidak jauh daripada kawasan berkenaan.

“Kesemua saspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut. Kes akan disiasat di bawah dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Dadah Berbahaya 1952”.

“Turut dirampas ketiga-tiga motorsikal yang digunakan oleh saspek dalam aktiviti berkenaan”, katanya.