POLIS MARIN KESAN 32 JERIKIN BERISI MINYAK PETROL DALAM HUTAN BAKAU

Oleh Ahmad Tamrin     

SEMPORNA : Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna telah berjaya menahan seorang lelaki warga asing dan merampas 32 jerikin (gambar) berisi lebih kurang 25 liter dalam serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di kawasan pondohan di Pulau Bohey Dulang dekat sini kelmarin.

Komander PPM Sabah ACP Hj. Mohamad Pajeri Ali,berkata, hasil dari maklumat Unit Risikan Marin (URM)  pemantauan telah mendapati lelaki yang berumur 23 tahun ini telah membawa bekalan petrol sedikit demi sedikit dari pekan dan dikumpul di sebuah kawasan hutan bakau yang sukar dilalui dan dilihat orang awam. 

Minyak petrol tersebut disyaki hendak diseludup ke negara Filipina. Namun modus operandi yang digunakan tidak mampu menghalang PPM untuk mengesan aktiviti yang menyalahi undang-undang negara, kata Mohamad Pajeri.

Sebuah bot yang digunakan untuk memunggah dan membawa minyak petrol tersebut turut dirampas, tambah beliau.

Menurut Mohamad Pajeri, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM16,164. Tangkapan dan rampasan telah kemudian dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut. 

“Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, jika disabit kesalahan boleh didenda RM 1 juta bagi pesalah perseorangan dan penjara tiga tahun,” kata beliau lagi.