17 IKS Sabah akan sertai Pameran CAEXPO, di Nanning, Guangxi, China

Madius (duduk tengah), Madiyem (duduk 3 dari kanan) dan Stephen (duduk 3 dari kiri) bergambar bersama IKS Sabah yang akan menyertai Pameran CAEXPO, di Nanning, Guangxi, China

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Sebanyak 17 syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) Sabah akan menyertai Pameran China-ASEAN Expo (CAEXPO) pada 20 hingga 24 September 2019 bertempat di Nanning International Convention & Exibition Centre (NICEC), Guangxi, China.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, syarikat IKS ini akan mengetengahkan produk berasaskan durian, produk berasaskan koko, minyak kelapa dara, mee kering, aiskrim potong dan sebagainya.
“Penyertaan kali ini mensasarkan jumlah jualan kaunter sebanyak RM196,000 dan jualan potensi sebanyak RM4.7 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penyertaan IKS Sabah di Pameran CAEXPO), dipejabat Kementerian Perdaganghan & Perindustrian (MTI), disini, semalam.
IKS berkenaan terdiri ARW Liulianwang Sdn Bhd, Borneo Natural Coconut Oil Sdn Bhd, Dong Sin Food Sdn Bhd, Majulah Koko Tawau Sdn Bhd, Pristine Food Stuff Sdn Bhd, Teck Guan Trading Sdn Bhd, Yit Fod Coffee Factory Sdn Bhd, Borneo Rainforest Herbs Sdn Bhd, Everlasting MUS Sdn Bhd, Heera Food Industries Sdn Bhd, Kekal Teguh Gemilang Sdn Bhd, Pemborong Mangkab Enterprise Produk Sdn Bhd, Equs Borneo Sdn Bhd, Fuzzo Global Sdn Bhd, Jooskin Industry Sdn Bhd, MSHerbal Sdn Bhd dan The LP Group Sdn Bhd.
Penyertaan IKS Sabah ke Pameran CAEXPO dianjurkan oleh MTI dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) serta Sabah Economic Development and Investment Authourity (SEDIA).
Masdius, yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata, sempena dengan pameran CAEXPO, satu seminar pelaburan akan turut diadakan pada 23 September 2019 di Nanning bagi mempromosikan taman-taman perindustrian di Sabah iaitu Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan POIC Lahad Datu untuk menarik lebih banyak pelaburan asing khususnya daripada pelabur China.
Di samping itu, Madius dan delegasi akan turut mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Qinzhou dan China-Malaysia Qinzhou Industrial Park (CMQIP) untuk meninjau dan mempelajari bagaimana pelabuhan dan taman perindustrian tersebut dibangunkan dan diurus tadbir dan dilengkapi dengan kemudahan yang sesuai.
Madius berkata, China-ASEAN Expo 2019 merupakan edisi ke-16 pameran ini sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 2004.
“Ekspo ini dianjurkan sebagai platform khas bagi mempromosikan serta memperkukuhkan dagangan, pelaburan dan pelancongan antara China dan negara-negara ASEAN,” katanya.
Tema CAEXP0 pada tahun ini ialah “Building Belt & Road, Realizing Our Vision for A Community of Shared Future”, di mana pameran kali ini akan disertai seramai 2800 peserta pameran dari China dan negara-negara ASEAN dan dijangka akan menarik lebih daripada 300,000 pengunjung.
Madius berkata, selaku Menteri MTI dan sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan sektor pembuatan di negeri ini, pihaknya akan terus memainkan peranan penting dalam menyelaras penyertaan IKS dalam mana-mana ekspo yang boleh membawa IKS ke tahap yang lebih tinggi disamping menarik pelaburan ke negeri Sabah.
Sidang akhbar itu turut dihadiri Setiausaha Tetap MTI, Datuk Madayem Layapan dan Pengarah DIDR Stephen Sampil.

Tamat.

Foto Caption:-