Ewon menyampaikan sumbangan kepada Ketua Pasukan MMT Junior Markzefron Musa, turut kelihatan Gideon
PENAMPANG (23 Sept): Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick menyampaikan sumbangan sokongan kepada skuad Media Mix Team (MMT) Junior yang akan bersaing dalam dua kategori, iaitu B-11 dan B-12, Kejohanan Bola Sepak Borneo International Cup di Stadium Penampang bermula 23 September hingga 27 September ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berharap sumbangan itu dapat meningkatkan semangat dan motivasi kepada para pemain.
“Kebanyakan pemain muda Sabah ini daripada Kota Belud, Keningau, Nabawan, Penampang, Tambunan dan Kota Marudu.
“Perlawanan pertama mereka tadi menang cemerlang 4-0. Walau dari luar bandar, tetap cemerlang juga. Semoga maju jaya kepada pasukan ini di bawah pimpinan Pengurus Pasukan Gideon Gadit,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu, di Kompleks Sukan Penampang, di sini, hari ini.
Sementara itu, Gideon berkata kehadiran mereka ke pertandingan itu tahun ini adalah untuk menebus kekecewaan apabila tewas dalam final kepada pasukan dari Filipina, Dreaming Football tahun lalu.
“Saya melihat saingan bertambah sengit tahun ini dengan kehadiran pasukan dari Filipina, Australia, Indonesia, Sarawak, Kuala Lumpur dan beberapa pasukan tempatan,” katanya.

Ewon bersalaman dengan para pemain MMT Junior

More Stories
Pasukan Tommy Hardware juara Pertandingan Open Double Dart Challenge
Izzuddin-Sze Fei cipta kejutan ke final BAC
Belum ada keputusan rasmi pengisian slot pemain import terbaharu – Kim Swee