Ketua Menteri Sabah buat lawatan kerja pertama ke Kalimantan

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Haji Apdal dengan Gabenor KALTIM Isran Noor ketika sesi taklimat

BALIKPAPAN, INDONESIA (30 Sept2019) : Lawatan kerja pertama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Haji Apdal ke Kalimantan menunjukkan tanda-tanda positif, hubungan kerjasama ekonomi, pelancongan dan pendidikan dengan pemerintah di wilayah tersebut.

Sebaik tiba di Balikpapan pagi tadi, beliau terus mengadakan perjumpaan dengan Gabenor Kalimantan Timur, Isran Noor.

Pada pertemuan itu, mereka berbincang tentang pembangunan Kalimantan Timur serta pelan pembangunan ibu negara di kawasan itu.

Rombongan Sabah pada sesi taklimat

Ini diikuti dengan sesi taklimat dan soal jawab antara rombongan Sabah dan wakil daripada Kalimantan Timur.

Pertemuan tersebut turut membincangkan kemungkinan penganjuran semula Borneo Games yang terkenal suatu ketika dahulu di kepulauan Borneo.

Antara perbincangan lain ialah peranan Sabah dalam membantu membangunkan sektor pelancongan di Kalimantan Timur dengan Sabah berperanan sebagai Hub Pelancongan.

Wakil dari pemerintah KALTIM

Dalam bidang pendidikan pula, Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yaacob turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman, (MoU) antara Universiti Malaysia Sabah, UiTM Kota Kinabalu dan SIDMA College dengan Universitas Balikpapan berkenaan program pertukaran pelajar dan lain-lain program berkaitan.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, Pengarah Kampus UiTM Kota Kinabalu, Profesor Madya Datuk Dr Haji Abdul Kadir Haji Rosline dan Pengerusi SIDMA College Profesor Dr. Morni Kambrie.

Sementara itu, Ketua Menteri turut melawat projek Lebuhraya Bertol Balikpapan-Samarinda sepanjang 99 Kilometer.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Haji Apdal melawat projek Lebuhraya Bertol Balikpapan-Samarinda

Lawatan kerja tiga hari ke Kalimantan turut disertai oleh dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Hashim Paijan.