Rombongan pelajar bergambar kenangan bersama Vivian, Liew serta pegawai lain di Parlimen Malaysia
SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong memulakan sesi Parlimennya dengan memperkenalkan satu lawatan sambil belajar untuk 10 orang pelajar dari Kolej Tingkatan 6 Datuk Pengiran Galpam Sandakan untuk mengunjungi ke Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur pada Isnin.
Ahli Parlimen Batu Sapi yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong, turut mengambil masa untuk bertemu dengan rombongan pelajar dari Sandakan di Parlimen.
Kesemua pelajar itu dipilih oleh sekolah berkenaan untuk menyertai lawatan ke Parlimen itu berdasarkan sikap dan prestasi pembelajaran mereka yang baik bagi lawatan sambil belajar ke Parlimen itu.
Vivian berkata, inisiatif lawatan ini juga antara lain menggalakkan pelajar berkenaan untuk mempelajari lebih lagi mengenai proses membuat perundangan di negara ini.
“Selain itu, lawatan pelajar ini juga memberi peluang kepada pelajar sekolah kita untuk berinteraksi dengan beberapa Ahli Parlimen dan menteri-menteri semasa lawatan mereka ke Parlimen ini,” katanya.
Vivian menambah, pelajar pada hari ini juga harus didedahkan dengan sistem pentadbiran kerajaan dan mempunyai pandangan politik mereka sendiri dimana mereka juga akan mengundi pada pilihanraya akan datang.
“Melalui perjumpaan saya dengan beberapa pelajar tempatan sebelum ini, saya juga berasa amat sedih kerana mendapati kebanyakkan pelajar kita tidak memberikan perhatian yang banyak atau minat kepada sistem dan politik serta struktur negara kita,” jelasnya.
“Sebelum ini juga, pernah sekali saya bertanya kepada sekumpulan pelajar sekolah menengah mengenai Perjanjian Malaysia 1963.
Saya amat terkejut dimana hanya sedikit dari mereka mengetahui latar belakang penubuhan Malaysia pada tahun 1963,” tambahnya.
Vivian berharap menerusi inisiatif program lawatan pelajar ke Parlimen itu, ia akan memberi kesedaran kepada pelajar tempatan untuk mengetahui isu semasa di peringkat kebangsaan.
Sementara itu, Liew juga akan memastikan sepanjang lawatan ini, pelajar berkenaan akan melawat ruang kerjanya dan amat menggalakkan mereka mempelajari serta memahami struktur atau proses membuat perundangan di negara ini.
Selaku peguam, Liew berkata, memahami dan mempelajari undang-undang bukan hanya seperti sekadar meletakkan perisai pada diri sendiri.
Semasa lawatan pelajar itu lagi, Liew juga berkongsi matlamat dan visinya selaku menteri persekutuan (undang-undang).
Beliau berharap menerusi lawatan itu, pelajar berkenaan akan mendapat manfaat serta pengalaman dan berani menyuarakan suara serta pendapat mereka sendiri.
Sementara itu, ketika ditanya pengalaman melawat Parlimen, salah seorang pelajar berkenaan, Mohd Alfian, berkata, ia benar-benar sebagai pembuka mata kepadanya dan rakan-rakannya yang lain yang mendapat peluang duduk di dalam Parlimen semasa sesi soal-jawab.
“Kami juga berpeluang bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad,” katanya.
Ketika ditanya apakah antara perkara yang paling mereka peroleh dari lawatan ke Parlimen ini, Mohd Alfian berkata, seseorang perlu belajar untuk mengkaji setiap isu secara mendalam untuk memahami sepenuhnya cabaran dan kekangan yang ada.
Katanya, seperti yang dikongsikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong kepada mereka, anda tidak boleh hanya membaca tajuk sahaja dan menjadi pakar.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ