Mayat lelaki yang ditemui dalam parit tepi jalan utama kawasan Kampung Cocos pagi tadi
Oleh Faizal Rahman
LAHAD DATU: Seorang lelaki telah ditemui mati dalam parit tepi jalan utama kawasan Kampung Cocos dekat sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah ACP Nasri Mansor berkata identiti mangsa yang dipercayai berumur 30an tahun belum diketahui oleh kerana polis hanya menjumpai gambar seorang wanita dalam dompet mangsa , sebuah telefon bimbit yang telah pecah serta serpihan lampu kenderaan.

Mayat tersebut ditemui oleh seorang awam yang melalui kawasan tersebut kira-kira jam 6.30 pagi sebelum memaklumkan kepada pihak polis, kata Nasri.
Pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan menemukan mayat itu dalam keadaan tertiarap dan terdapat dua kesan luka pada bahagian kepala, kata Nasri.
Anggota polis juga menjumpai kedua-dua kasut mangsa telah tertanggal, dompet mangsa yang hanya mengandungi gambar seorang wanita, telefon bimbit yang sudah pecah serta serpihan lampu kenderaan, tambahnya.
Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih dari 12 jam. Mayat itu kemudian telah dihantar ke Hospital Daerah Lahad Datu untuk dibedah siasat, kata Nasri.
Buat masa ini siasatan pihak polis dilakukan dari semua aspek termasuk dari sudut trafik, katanya lagi.
Pihak polis sedang mengesan wanita tersebut untuk bantu siasatan dan turut berharap orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini agar dapat tampil di balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan, kata Nasri.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ