BOT NELAYAN DITAHAN MARITIM MALAYSIA DISYAKI LANGGAR SYARAT SAH LESEN

Bot nelayan tempatan yang ditahan Maritim Malaysia zon Maritim Tawau semalam

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU: Sebuah bot nelayan tempatan telah ditahan oleh Maritim Malaysia di sini kerana disyaki telah melanggar syarat sah lesen yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Sabah di sekitar perairan Tawau, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi  Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, bot ronda Zon Maritim Tawau semasa membuat rondaan telah menahan bot nelayan tersebut kerana menjalankan aktiviti perikanan di kawasan kurang daripada 2 batu nautika dari daratan pada  jam lebih kurang 11.40 pagi.

Pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang juragan lelaki dan dua awak-awak lelaki dewasa warga Indonesia masing-masing berumur dalam lingkungan 30 hingga 38 tahun memiliki dokumen pengenalan diri pasport yang sah, kata Mohd Yusri.

Kesemua yang ditahan termasuk bot nelayan ditunda masuk ke jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki telah melanggar syarat sah lesen bot seterusnya kes diserah kepada pihak Jabatan Perikanan Tawau, tambah beliau.

Menurut Mohd Yusri, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan malahan akan terus memastikan perairan Sabah khususnya Tawau, selamat, aman dan terkawal.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999, katanya lagi.