KARNIVAL HARI KELUARGA ORANG KURANG UPAYA PENGLIHATAN PERINGKAT SANDAKAN

Vivian (tengah) semasa merasmikan Karnival Hari Keluarga Orang Kurang Upaya Penglihatan Peringkat Sandakan

SANDAKAN : Ahli-ahli koprat, ahli-ahli perniagaan dan semua pihak yang berkemampuan disaran untuk bersama-sama membantu menghulurkan sumbangan kepada Pertubuhan Bagi Orang Buta Sabah. 

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong  berkata, ini penting bagi membantu pihak pertubuhan yang juga sedang melancarkan kempen pungutan derma dengan menghantar surat rayuan kepada umum.

“Ini juga akan dapat membantu Pertubuhan berkenaan meneruskan usaha memberi pendidikan berkenaan kepada pelatihnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Hari Keluarga Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan Daerah Sandakan Sempena Bulan Kebajikan 2019 di Kompleks Taman Cahaya Pusat Latihan Bagi Orang Buta Sabah di Pekan Muhibbah, Batu 12,  baru-baru ini.

Ia dianjurkan Pertubuhan Bagi Orang Buta Sabah dan pihak Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS).

Pusat latihan taman cahaya itu adalah satu-satunya pusat latihan kemahiran bagi mereka yang cacat penglihatan di seluruh daerah di Negeri Sabah ini. 

Seramai 1,200 orang yang cacat penglihatan telah diberi latihan kemahiran dan 80 peratus daripada mereka telah berjaya hidup berdikari.  

“Dengan usaha, kerja keras dan dedikasi pihak Pertubuhan Bagi Orang Buta Sabah, kita lihat tidak ada OKU Penglihatan ini yang terus mengharap bantuan tanpa berusaha selepas tamat latihan disini,” jelasnya.

Ini bermakna latihan dan kemahiran yang diberikan kepada mereka sangat berkesan, tambahnya.

Pusat latihan ini dikelolakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang ahlinya terdiri daripada sukarelawan dan hanya mendapat dana sebanyak RM50,000 setahun daripada pihak kebajikan am.

Manakala perbelanjaan setahun yang diperlukan adalah sebanyak RM350,000 setahun. 

Mereka juga turut mengharapkan derma dan sumbangan daripada orang ramai bagi menjalankan aktiviti seharian.

Karnival terbuka kepada orang ramai dengan pelbagai aktiviti itu juga diadakan antara lain memberi peluang kepada masyarakat sekeliling agar dapat lebih memahami tentang kehidupan OKU penglihatan.

Karnival ini juga memberi peluang perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil  untuk berniaga dengan kepelbagaian jualan, yang mana ia juga sangat digalakan oleh pihak kerajaan.

Sementara itu, sejurus merasmikan karnival itu, Vivian juga telah melawat ke perumahan OKU penglihatan yang terletak di perkampungan mereka berdekatan taman itu.

Vivian melihat kawasan perumahan itu tidak begitu baik keadaannya terutama tangga dan lantai yang sudah reput tidak bersesuaian untuk keselamatan OKU. 

“Saya akan menyuarakan keperluan rakyat di Taman cahaya ini kepada pihak berkenaan,” katanya.