Shafie (tengah) merasmikan Karnival Pekerjaan EIS PERKESO Negeri Sabah 2019 di Suria Sabah shopping Mall
Oleh: Nio James
KOTA KINABALU: Lebih 3,000 kekosongan jawatan ditawarkan dengan melibatkan 24 majikan sempena Karnival Pekerjaan EIS PERKESO Negeri Sabah 2019.
Karnival sehari itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal, bertempat di Suria Sabah shopping Mall, kelmarin.
Berucap dimajlis itu, Shafie berkata, Kerajaan Negeri Sabah amat mengalu-alukan penganjuran Karnival Perkerjaan EIS PERKESO.
“Apatah lagi ketika Sabah berdepan dengan masalah pengangguran yang meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kadar pengangguran di Sabah kekal pada 5.6 peratus bagi tahun 2017 dan 2018, bilangan penganggur telah meningkat lebih 5,000 orang pada tahun 2018 berbanding tahun sebelumnya.
Shafie berkata, langkah Kerajaan memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang ditadbir oleh PERKESO telah banyak membantu mereka yang kehilangan mata pencarian.
Katanya, di Sabah, bagi tahun ini sehingga September, seramai 2,252 pekerja yang kehilangan pekerjaan telah memohon faedah SIP.
Daripada jumlah itu, katanya, 1,650 telah diluluskan yang melibatkan bantuan kewangan sebanyak RM2.93 juta.

“Sementara jumlah bayaran faedah SIP untuk seluruh Malaysia sepanjang tahun ini, sehingga September adalah RM71.38 juta,” katanya.
Shafie berkata, Kerajaan Negeri juga amat bersyukur kerana Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) akan diperluaskan kepada 18 sektor tidak formal lain.
“Ia sudah tentunya akan memanfaatkan lebih ramai pekerja yang bekerja sendiri.
Tambahan pula, majoriti masyarakat Sabah adalah petani, peniaga dan terlibat dalam sektor pelancongan.
Suri rumah juga akan dapat menikmati perlindungan sosial PERKESO tidak lama lagi,” katanya.
Buat julung kalinya PERKESO menganjurkan Karnival Pekerjaan EIS di Sabah, juga yang pertama di wilayah Borneo ini.
Kota Kinabalu adalah lokasi keempat dalam siri jelajah karnival kerjaya anjuran PERKESO sepanjang ini.
Bergerak dari kejayaan yang dicapai di tiga lokasi terdahulu iaitu Kuala Lumpur, Alor Setar dan Kangar, penganjuran karnival kerjaya ini diperkembangkan lagi ke Negeri di Bawah Bayu sebelum ke Bumi Kenyalang pada bulan depan.
Turut hadir Ketua Eksekutif PERKESO Dato’ Seri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed dam Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO Dato’ Mohd Sahar Darusman.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ