Vivian (barisan depan, 3 kanan) bersama murid-murid PPKI, guru-guru serta pegawai SK Sungai Anib III
SANDAKAN : Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong berkata akan meneruskan mandat mendiang ayahnya, Datuk Stephen Wong untuk membantu dan menyokong anak-anak berkeperluan khas dan mereka yang memerlukan serta tidak berkemampuan.
Salah satunya di sekolah pendidikan khas.
“Kita menerima banyak permohonan bagi keperluan pembelajaran pendidikan khas dan mereka yang tidak bernasib baik,” katanya.
Meskipun permohonan itu bukan dari kawasan Parlimen Sandakan yang Vivian wakili dan banyak lagi kawasan lain disini termasuk di kawasan pulau di daerah ini, katanya, pihaknya akan berusaha sebaiknya.
“Kita amat mengambil berat akan keperluan ini kerana ia melibatkan keperluan pendidikan khas,” katanya.
“Walaupun saya tidak dapat membantu sepenuhnya permohonan ini, saya akan cuba dan berusaha membantu sekaligus menggalas mandat itu,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Tahunan Pendidikan Khas 2019 SK Sungai Anib III di Hotel Four Points By Sheraton Sandakan hari ini.
Seramai 11 murid PPKI SK Sungai Anib III yang tamat pelajaran Tahun Enam menerima sijil masing-masing yang disampaikan Vivian.
Hadir sama Pegawai Pendidikan Khas dan Pemulihan Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan, Zuzyanna Kasman, Guru Besar SK Sungai Anib III, Haji Azhar Sani Tamam, Penolong Kanan Pendidikan Khas, Shirley Liew dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sg Anib III, Lee Yuen Sin serta ibubapa.
Sementara itu, Vivian berkata, warga sekolah termasuk guru serta murid bukan sahaja perlu dilihat sebagai cemerlang tetapi harus sentiasa dilihat mendahului zaman.
“Pendidikan juga seharusnya bersifat seumur hidup dan tidak ada nokhtah kepada proses ini,” katanya.
Ujarnya, tugas dan cabaran masa depan juga memerlukan semua pihak bersama-sama untuk terus bekerja lebih keras dan lebih strategik.
“Setiap detik kita perlu bersedia menilai dan melihat untuk mengenalpasti kekurangan dan kelemahan yang harus diperbaiki sekaligus mempelajari daripada mereka yang lebih cemerlang,” katanya.
“Usaha mencapai kecemerlangan pelajaran juga sebenarnya bermula dari rumah dimana ibubapa ialah guru pertama yang dikenali anak-anak.
Ibu bapa juga bertanggungjawab menanam nilai-nilai mulia yang sesuai bagi membolehkan anak-anak cemerlang pada masa depan serta menjadi manusia yang dapat memanfaatkan agama, bangsa, dan negara,” tambahnya.
Dalam pada itu, Vivian berkata, pendidikan anak-anak istimewa ini juga amat penting.
Usaha guru dan jasa mereka termasuk warga pendidik dan kakitangan bukan mengajar di semua sekolah pendidikan khas termasuk Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SK Sungai Anib III, Sandakan dalam mendidik ini insan istimewa ini juga amat dihargai.
“Saya berharap usaha untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan anak-anak istimewa ini juga akan dilipat gandakan lagi agar kira dapat menyediakan pendidikan terbaik kepada anak-anak kita pada hari ini dan masa depan,” tambahnya.

More Stories
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ
Warga UMS Jayakan ‘Jom Baca’ dan Pelancaran Kapsul Masa Digital 2035
Pengurusan makanan dan amalan pengilangan baik penentu kualiti industri makanan negara