Pelajar SMK Tamparuli Johan Nasional Shell Selamat Sampai School Challenge 2019

Rakam Sijim (bersongkok) bersama Pengetua Jaya Silar (berdiri 4 dari kanan), Pengerusi PIBG Michael Kadum (berdiri 5 dari kanan) dan Cikgu Ernest (berdiri 3 dari kiri) bergambar bersama para pelajar team projek.

KOTA KINABALU: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli pulang ke Sabah dengan penuh kebanggaan setelah dinobatkan sebagai johan Pertandingan SHELL Selamat Sampai School Challenge 2019.

Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTKK) disambut oleh Rakam Sijim, Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah yang juga Ketua Bahagian Parti Warisan Tuaran.

Turut hadir Pengetua SMK Tamparuli, Jaya Silar A/L Muniandi, Pengerusi PIBG Michael Kadum, Cikgu Eliazer Linggin serta wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)Tuaran.

Hasil inovasi ciptaan pelajar SMK Tamparuli iaitu sistem lampu amaran trafik, alat penggera anjing liar serta program melibatkan komuniti telah berjaya menewaskan empat lagi finalis dalam pertandingan tersebut.

Sebanyak lima buah sekolah di seluruh Malaysia berjaya mara ke pertandingan akhir  terdiri daripada SMK Convent Butterworth, Pulau Pinang; SMK Riam, Miri, Sarawak; SM Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah; SMK Tamparuli, Tuaran, Sabah and SMK Luak, Miri, Sarawak.

Rakam Sijim (bersongkok) bersama pengetua dan pengerusi PIBG sekolah serta wakil PPD semasa menunggu ketibaan team projek SMK Tamparuli.

Johan pertandingan membawa pulang sijil, trofi serta wang tunai sebanyak RM10,000.00.

Dinamakan sebagai `Fantastic 4S’, penghasilan projek inovasi itu yang membabitkan penyertaan 20 pelajar yang membentuk pasukan dinamakan Boleh Bah Kalau Kau (BBKK) 4.0 itu didorong oleh inisiatif mewujudkan persekitaran selamat di sekolah mereka.

Guru Pembimbing SMK Tamparuli, Ernest Kelly Subin, berkata projek pertama, ‘Stop! Tunggu Dulu’ (sistem lampu amaran trafik) direka bagi mengelak kesesakan lalu lintas, selain memastikan pergerakan mengikut giliran bagi setiap kenderaan yang memasuki kawasan sekolah.

Projek kedua, ‘Sorry Doggy’ lebih berbentuk alat penggera bahaya anjing liar menggunakan teknologi ultrasonik, projek ketiga ialah ‘Smooth Road’ yang menumpukan kepada pengurusan jalan supaya lalu lintas di kawasan sekolah lebih lancar.

Sehubungan ini team projek telah mencadangkan kepada PIBG) agar memohon peruntukan dari Kerajaan Negeri bagi membolehkan permukaan jalan raya yang  berlubang diturap.

Manakala projek keempat dinamakan ‘Sedarlah’ lebih kepada program ceramah keselamatan pelajar sekolah di tiga sekolah menengah dan empat sekolah rendah di Tuaran serta Kota Kinabalu.

Sementara itu Rakam Sijim semasa ditemui berkata kejayaan pelajar SMK Tamparuli wajar dijadikan contoh atas kesungguhan dan kreativiti dalam penyelesaian masalah setempat.

“Pelajar-pelajar ini serta guru bimbingan berjaya membuktikan bahawa anak Tuaran juga mampu bersaing dan berjaya di peringkat yang lebih tinggi jika diberikan peluang,” katanya.

“Secara peribadi, kejayaan pelajar SMK Tamparuli dekat dihati kerana saya sendiri adalah pelajar batch pertama Tingkatan 5 yang lahir daripada sekolah tersebut.” katanya lagi.

Rakam juga mahu agar agensi kerajaan berkaitan seperti Yayasan Inovasi Malaysia, Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah mengambil maklum kejayaan inovasi seperti itu dan mengetengahkan hasil yang berguna kepada masyarakat.

“Kejayaan ini tidak boleh berhenti di sini malahan kita perlu mengiktiraf dan menggalakkan lagi usaha yang sebegini di kalangan masyarakat kita,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *