RAYUAN KEPADA KERAJAAN UNTUK MEMBAIKI KEMUDAHAN YANG USANG DI SK SUNGAI PADAS

Bumbung astaka SK Sungai Padas yang rosak

SANDAKAN: Kemudahan yang usang di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Padas mendapat perhatian seorang pemimpin di kawasan Libaran.

Bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan ke sekolah tersebut, Ketua UPKO Bahagian Libaran Dr. Peter Jr. Naintin berkata terdapat beberapa kemudahan rosak yang perlu dibaiki segera demi keselamatan serta keselesaan warga sekolah khususnya murid-murid.

Peter memberitahu bahawa beliau akan membuat rayuan kepada Kerajaan untuk menyalurkan peruntukan supaya kerja-kerja membaiki kemudahan tersebut dapat dilaksanakan.

Antara kemudahan berkenaan ialah pembinaan kantin baharu serta juga menaik taraf astaka (grandstand) yang dibina lebih 30 tahun lalu dan kini berada dalam keadaan usang, tambah Peter.

“Sebenarnya SK Sungai Padas tidak mempunyai bangunan kantin sejak sekolah ini dibina lebih tiga puluh tahun lalu.  Kantin yang ada sekarang adalah rumah guru/ kerani yang dijadikan kantin,”  katanya lagi.

Astaka sekolah yang juga dibina lebih 30 tahun lepas, perlu dinaik taraf kerana pagar sekeliling kawasan itu, tempat duduk dan bumbung telah rosak dan penyelenggaraan kecil dilakukan oleh penduduk kampung secara gotong royong sekian lama , kata Peter.

Peter turut menyampaikan sumbangan cat dari UPKO Bahagian Libaran untuk mengecat semula lantai dewan terbuka sekolah yang telahpun selesai dilakukan.

Untuk rekod, penempatan di Kampung Padas bermula sejak tahun 1974 dan kampung ini telah diwartakan sebagai Tanah Rizab  Anak Negeri Kampung Padas pada tahun 1996. Kampung ini pernah beberapa kali menjadi sebuah kampung contoh di Daerah Sandakan dan berjaya mewakili Sabah ke peringkat Kebangsaan di bawah anjuran Jabatan Pertanian pada masa itu.

Di atas permintaan dan usaha penduduk kampung, pihak kerajaan telah meluluskan pembukaan sekolah rendah yang lebih dikenali sebagai SK Sungai Padas pada tahun 1985. Ini adalah untuk memenuhi keperluan pendidikan bagi anak-anak penduduk kampung pada masa itu.

Pada tahun 1987, penduduk kampung telah membina sebuah astaka yang diperbuat daripada sumber kayu dengan kapasiti tempat duduk seramai 150 orang . Di mana, ia termasuk pembinaan rumah guru-guru pada tahun yang sama.

Dari 80 orang murid di peringkat awal sekolah ini ditubuhkan pada 1985 dimana sesi pembelajaran diadakan di balai raya kampung, SK Sungai Padas hari ini mempunyai bangunan sendiri dan bilangan murid berjumlah 430 orang dari pra sekolah sehingga Tahun 6 serta 45 guru, staf , pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan.