LAWATAN AMAL SJAM KAWASAN SANDAKAN KE RUMAH CHESHIRE

Rombongan SJAM kawasan Sandakan bersama Ermawati (tengah) serta semasa lawatan  pada hari Sabtu

SANDAKAN: St. John Ambulans Malaysia (SJAM) Kawasan Sandakan telah membuat lawatan amal ke Rumah Cheshire Sabah Sandakan yang terletak di Batu 5, Jalan Sibuga, kelmarin.

Lawatan berkenaan diketuai oleh Pegawai Pemerintah kawasan Sandakan Tan Chuan Joo, bersama setiausaha Pengiran Abdul Rahim, Pegawai Gerakan Abdul Kadir, Bendahari Chang Fui Chew, timbalan bendahari Kong Li Li dan ahli-ahli SJAM.

Rombongan SJAM Sandakan tersebut telah disambut oleh Pentadbirnya, Ermawati serta penghuni rumah berkenaan.

Pada lawatan itu, Ermawati menerangkan mengenai sejarah dan perkembangan terkini mengenai aktiviti yang dijalankan oleh Rumah Cheshire cawangan Sandakan yang telah beroperasi di Sandakan sejak tahun 2000. Ketika ini, ia menguruskan 19 penghuni lelaki, 10 penghuni perempuan dan 19 orang kanak-kanak dari pelbagai kaum, agama dan budaya.

Ermawati juga memperlawa orang ramai memberi apa-apa bentuk sumbangan. Orang ramai juga boleh menjadi ahli biasa atau ahli seumur hidup dengan yuran yang ditetapkan.

Lawatan SJAM ini bertujuan mendedahkan ahli-ahli SJAM tentang kegiatan dan kehidupan golongan istimewa, dan meningkatkan kesedaran ahli SJAM mengenai isu golongan istimewa dan kurang upaya secara realistik.

Sempena lawatan, teknik pertolongan cemas tercekek juga ditunjukkan oleh ahli SJAM supaya dapat digunakan kepada penghuni pada ketika kecemasan .

Ermawati berharap SJAM dapat memberi tunjukajar CPR dan teknik lain.  Satu sesi latihan akan diatur kemudian bersama SJAM Kawasan Sandakan.

Pada lawatan ini juga,  rombongan SJAM turut menyerahkan pakaian yang derma oleh orang awam dan menyampaikan sumbangan keperluan harian untuk kegunaan penghuni di sini.