KAPAL NELAYAN TEMPATAN DITAHAN POLIS MARIN LANGGAR SYARAT LESEN PERIKANAN

Oleh Faizal Rahman

LAHAD DATU : Sebuah kapal nelayan jenis pukat tunda telah ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dalam “Ops Gelora” kerana melanggar syarat lesen perikanan di perairan Tungku, dekat sini hari ini.

Komander PPM Sabah, ACP Hj Mohamad Pajeri Ali berkata, “Hasil pemeriksaan lanjut oleh Pasukan Polis Marin ke atas kapal nelayan tersebut didapati juragan bot sedang leka menangkap ikan di kawasan perairan Tungku pada jarak kurang daripada 3 batu nautika dari persisiran pantai pada jam 9.30 pagi.

“Nilai rampasan pelbagai jenis ikan dalam operasi tersebut dengan anggaran berat 1,100 kg adalah dianggarkan berjumlah RM 5,500.

Kita tidak akan berkompromi terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan kerana aktiviti menangkap ikan oleh bot-bot nelayan jenis tunda secara berdekatan dengan persisiran pantai adalah sangat berbahaya kepada nelayan-nelayan kecil dan juga terhadap ekosistem ikan dan terumbu karang,”tambahnya lagi.

Tangkapan dan rampasan dibawa ke pos Merabung sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.  Kes disiasat dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen, kata Mohamad Pajeri.

Justeru itu, Mohamad Pajeri juga menyaran kepada masyarakat untuk menyalur maklumat kepada PPM berkaitan aktiviti-aktiviti jenayah yang di lakuan nelayan di talian Gerakan PPM IPK Sabah 088-454819.