Datuk Limus Jury (kanan) daripada Upko ketika menghadiri menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini. Turut kelihtan dari kiri, ADUN Kemabong (Warisan), Jawami Jaafar, ADUN Paginatan (Upko) Datuk Abidin Madingkir, ADUN Sugut (UPKO) Datuk James Ratib, ADUN Pitas (Warisan) Datuk Bokliah Hj. Ismail dan ADUN Kuamut (Warisan) Datuk Masiung Banah.
Oleh: Nio James
KOTA KINABALU: Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah diambilalih oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKRM) sebagai pemilik projek dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai agensi pelaksana.
Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, pengambilalihan itu dibuat selepas penamatan Rakan Penyampaian Projek (PDP) pada 21 September 2019.
Sehubungan itu, katanya sebanyak lima belas (15) buah pakej kerja yang terlibat akan diteruskan pelaksanaannya dalam Rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMK-11) manakala baki sebanyak dua puluh (20) pakej kerja lagi akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMK-12).
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury daripada UPKO pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Peter berkata, bagi semua kontraktor kerja yang telah ditamatkan kontrak selaras dengan penamatan PDP, Kerajaan secara prinsipnya bersetuju untuk kontraktor-kontraktor itu dilantik semula.
Beliau berkata, sebanyak 12 buah pakej kerja dijangka dapat disiapkan mengikut tempoh asal penyiapan iaitu pada bulan Jun 2022, manakala sebanyak tiga buah pakej lagi hanya akan dapat disiapkan selewat-lewatnya akhir tahun 2023.
Limus sebelum itu bertanya kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur apakah status hala tuju pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah selepas penamatan PDP pada 21 September 2019 lalu.
Beliau juga betanya adakah projek itu akan disiapkan mengikut tempoh asal perjanjianiaitu bulan Jun 2022.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ