KPKT PERUNTUK RM 20 JUTA NAIK TARAF PELBAGAI PROJEK DI TAWAU

TAWAU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM20 juta bagi menaik taraf pelbagai projek di Tawau iaitu menambah baik enam buah pasar dan membina jejantas serta bumbung di Tamu Sabindo.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin (gambar) berkata KPKT turut meluluskan RM500,000 yang dipohon Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bagi menaik taraf Pasar Tanjung Tawau pada September lepas.

“Saya melihat dari segi keperluan, kalau saya tengok itu (peruntukan) untuk pelaburan yang akan meningkatkan daya saing ekonomi daerah itu, ia akan menjadi keutamaan kepada saya,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pelupusan sisa pepejal Bukit Gemuk dekat sini, semalam.

Zuraida yang turut meluangkan masa menyempurnakan majlis pecah tanah Balai Bomba dan Penyelamat Merotai, Kalabakan hari ini berkata balai bomba bernilai  RM8 juta itu akan siap dalam tempoh dua tahun.

Katanya, projek itu melibatkan pembinaan balai bomba Kelas D bersama kuarters kakitangan yang menempatkan 26 anggota serta pegawai.

“Ini satu projek bermanfaat bagi Sabah kerana faktor geografinya yang luas, oleh itu keperluan untuk ada banyak lagi balai bomba adalah kritikal di negeri ini termasuk di Tawau,” katanya.