OPERASI BERSAMA PGA SABAH DAN BEBERAPA AGENSI LAIN KEKANG KEGIATAN PEMBURU HARAM

LAHAD DATU: Operasi bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan WWF-Malaysia sejak Selasa lepas sehingga Ahad malam di kawasan rizab hidupan liar Tabin, dekat sini, antara lain menemukan 62 jerat yang dipasang pemburu haram, 61 kelongsong peluru dan satu senjata api yang telah rosak.

Operasi yang disertai 69 pegawai itu turut menemukan lima tanduk rusa, serta beberapa rangka tulang gajah, dan mereka turut membuat serbuan di sebuah kedai di kawasan ladang yang didapati menyimpan 22 ekor burung tanpa permit.

Pegawai Pemerintah Batalion 15 PGA Supt Toipi Lamat dalam satu kenyataan berkata selain misi membanteras aktiviti pemburu haram serta jenayah berkaitan hidupan liar, operasi itu juga menjadi medan latihan kepada pasukan PGA.

Sementara itu, Pengarah jabatan Hidupan Liar Sabah Agustine Tuuga berkata Ops Khazanah dengan kerjasama pelbagai agensi itu menandakan permulaan baharu yang lebih berkesan dalam langkah-langkah bagi membanteras jenayah berkaitan hidupan liar.

“Lebih banyak lagi rondaan bersama akan diadakan pada masa akan datang, susulan kejayaan operasi bersama ini,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Datuk Mashor Mohd Jaini

Sementara itu, Ketua Pemuliharan Hutan Sabah Datuk Mashor Mohd Jaini berkata tanggungjawab bagi melindungi hutan bukanlah terletak di bahu satu-satu pihak sahaja, sebaliknya semua agensi perlu tampil bersama menyokong usaha itu.

“Kejayaan terbaharu ini yang membawa kepada penangkapan mereka yang terlibat di Pitas dan Sugut membuktikan bahawa kolaborasi antara pihak yang berkaitan akan membuahkan hasil yang lebih baik dalam usaha membantera jenayah berkaitan hidupan liar,” katanya.

Beliau berkata susulan kejayaan Ops Khazanah, satu pasukan yang dinamakan ‘PROTECT’ badan khas anti pemburu haram di bawah Jabatan Perhutanan Sabah, akan meneruskan tugas-tugas meronda sekitar kawasan sempadan Tabin dan lain-lain kawasan hutan di Sabah.

Dr Robecca Jumin

Sementara itu Ketua Pemuliharaan WWF-Malaysia  Sabah, Dr Robecca Jumin berkata WWF-Malaysia berharap kolaborasi Ops Khazanah akan diadakan lebih kerap di masa akan datang supaya aktiviti pemburu haram dapat dibanteras sepenuhnya.