CUTI KRISMAS DITAMBAH DUA HARI, PADA 24, 25 DISEMBER

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd ShafieHaji Apdal memalu gong tanda simbolik perasmian Perayaan Krismas Kota Kinabalu 2019 bertempat di Padang Merdeka Kota Kinabalu malam ini.

Oleh: Nio James.

KOTA KINABALU: Sabah melakar sejarah sebagai negeri pertama di Negara ini memberikan cuti umum selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 Disember sempena sambutan peryaan Krismas bermula tahun ini.

Tambahan cuti umum pada 24 Disember itu diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Haji Apdal semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Perayaan Krismas Kota Kinabalu 2019 bertemakan `Kemurnian & Keharmonian’ anjuran Majlis Gereja-Gereja Sabah, bertepat di Padang Merdeka malam ini.

Sebelum ini cuti umum untuk perayaan Krismas hanya sehari iaitu pada 25 Disember.

Sudah pasti tambahan cuti umum itu menjadi berita gembira untuk rakyat Sabah khususnya penganut Kristian yang akan meraikan Krismas bersama keluarga dan rakan taulan di kampung halaman.

“Untuk mempermudahkan supaya perayaan terdekat ini dijayakan dengan baik saya umumkan cuti dua hari untuk sambutan Krismas.

“Kalau saya tidak bagi cuti ada yang mahu balik kampung misalnya di Tongod, Long Pasia yang memhambil masa selama lapan jam,” katanya dan  berharap tambahan cuti itu dapat menjadikan sambutan Krismas tahun ini penuh meriah dan harmoni,” katanya.

Shafie berkata, sebagai sebuah negeri yang berbilang kaum dengan majoriti adalah penganut Kristian, perayaan Krismas di Sabah adalah yang paling meriah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Katanya, rumah terbuka dan aktiviti ziarah-menziarahi di negeri ini turut dimeriahkan dengan kehadiran masyarakat berbilang bangsa dan agama atas semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat.

Pengumuman Mohd. Shafie itu turut membuktikan janji beliau bahawa semua bangsa dan agama di negeri ini perlu mendapat pengiktirafan sewajarnya.

Madius (tengah) turut hadir pada Majlis Sambutan Perayaan Krismas Kota Kinabalu 2019 anjuran Majlis Gereja-Gereja Sabah di Padang Merdeka malam ini yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah.

Sebelum ini, Shafie turut mengumumkan peruntukan segera RM1 juta untuk membaik pulih Gereja St. Theresa di Tambunan ketika melawat pusat ibadat itu yang seterusnya menggembirakan semua penganut Kristian di Sabah.

Selain itu, beliau turut meningkatkan peruntukan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah persendirian serta sekolah-sekolah mubaligh sebanyak RM8 juta kepada RM35 juta pada tahun 2020.

“Sebuah negarayang dianuti pelbagai agama memang dituntut untuk hidup harmoni walaupun kepelbagaian masyarakat kita seharusnya dapat hidup dalam suasana murni,” katanya.