Donald di Dewan Negara
Oleh Janecarr Yado
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggesa Kerajaan Persekutuan membuat pendekatan penglibatan awam sebelum mengeluarkan Pas Sementara Sabah (PSS).
Timbalan Presiden Upko, Datuk Donald Peter Mojuntin yang juga Ahli Dewan Negara berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) seharusnya mengambil kira penglibatan awam termasuklah seperti dialog dan perbincangan dengan rakyat majmuk yang ada di negeri Sabah.
Donald berkata ianya sama ada melalui “townhall” di setiap daerah di Sabah, perbincangan dengan NGO atau perbincangan dengan parti-parti politik, tidak kira kerajaan atau pembangkang.
Donald menegaskan sekiranya kerajaan Pusat ikhlas dan telus dalam menyelesaikan masalah PATI maka tidak seharusnya KDN mengumumkan tarikh tutup untuk mengimplementasikan pengeluaran PSS sebelum mengadakan sebarang penglibatan awam.
“Kerajaan perlu melibatkan rakyat kerana secara dasarnya rakyat merupakan “stakeholders” dalam masalah PATI yang mana keselamatan, ekonomi, kesihatan dan kesejahteraan rakyat mereka diambilkira, katanya.
Donald berkata demikian dalam sesi ucapan perbahasan Pembentangan Bajet 2020 di Parlimen selasa lalu.
Menurutnya, KDN sememangnya mempunyai perancangan untuk mengadakan penglibatan awam dengan rakyat selepas dasar, polisi dan mekanisme sudah ditentu atau diputuskan namun Donald berpendapat dasar, polisi dan mekanisme tidak seharusnya digubal selagi penglibatan dengan “stakeholders” tidak dilaksanakan.

“Jika dasar, polisi dan mekanisme diputuskan sebelum penglibatan awam, saya khuatir reaksi dan respon daripada rakyat tulen Sabah akan menjadi lebih teruk dan lebih negatif lagi,” tambahnya.
Hal ini kerana cadangan pemberian PSS oleh pihak kerajaan yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah PATI di negeri Sabah telah menerima pelbagai reaksi dan isu ini masih hangat di kalangan rakyat Sabah hinggalah kini.
Donald meyakinkan KDN bahawa terdapat banyak manfaat dapat diperolehi melalui respon daripada pelbagai pihak sekiranya diadakan perbincangan awam atau dialog.
“Mungkin ada cadangan-cadangan munasabah daripada mereka. Mungkin juga ada idea-idea atau alternatif-alternatif yang dapat dipertimbangkan oleh pihak KDN yang akan membantu dalam penggubalan dasar, polisi serta mekanisme penyelesaian masalah PATI di Sabah ini,” katanya.
Dalam pada itu, Donald turut memaklumkan walaupun KDN telah membuat beberapa penjelasan mengenai pengeluaran PSS tersebut namun penerimaan kebanyakan rakyat Sabah masih menunjukkan reaksi negatif berbanding positif.
Donald tidak menafikan cadangan untuk menyelesaikan masaLah PATI itu adalah suatu usaha yang baik namun tegasnya pendekatan yang digunakan tidak sesuai.
Donald turut menegaskan bahawa sebarang cadangan penyelesaian masalah PATI seharusnya bersifat “bawah ke atas” dan bukan “atas ke bawah”.
Selain itu, Donald juga menyentuh soal proses penganugerahan status kewarganegaraan yang menurutnya perlu dilaksanakan secara telus dan lebih terbuka.
“Sebelum kelulusan apa-apa permohonan status kewarganegaraan Malaysia, senarai pemohon-pemohon haruslah dipaparkan selama suatu tempoh, mungkin 3 bulan, di tempat yang boleh diakses oleh orang awam, seperti di Pejabat Daerah atau Pejabat Majlis Daerah. Dengan cara ini, ia terbuka kepada bantahan serta maklumbalas kepada Jabatan Pendaftaran Negara,” ujarnya.
Donald berkata sekiranya tidak wujud sebarang masalah, kelulusan muktamad hanya diberikan selepas pemohon-pemohon yang berjaya dijemput berkumpul di sebuah tempat atau dewan khas, yang terbuka kepada orang awam sebagai saksi, untuk melafazkan taat setia kepada negara.
Keterbukaan dalam proses permohonan kewarganegaraan ini akan mengurangkan persepsi negatif dan keraguan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama sekali di Sabah, tambahnya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ