HASRAT NIKMATI BAKAS TIDAK KESAMPAIAN

Sebahagian hasil daripada buruan ‘bakas’ yang dirampas oleh pasukan Protect.

LAHAD DATU: Hasrat lima lelaki untuk menikmati hasil buruan ‘bakas’ tidak kesampaian apabila mereka diberkas Pasukan Khas Jabatan Perhutanan Sabah (Protect) di kawasan Hutan Simpan Tabin, di sini, kelmarin.

Kesemua suspek membabitkan empat warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan ketika sedang leka melapah babi hutan hasil buruan mereka, kira-kira jam 12.30 tengah malam, di hutan simpan berkenaan.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Jaini berkata, pihaknya berjaya mengesan suspek selepas menerima maklumat dari orang awam dan kesemua lelaki terbabit juga dipercayai pekerja ladang yang terletak di sempadan hutan simpan berkenaan.

Antara suspek yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemburuan haram di Lahad Datu.

“Semua suspek ditahan ketika sedang leka memproses hasil buruan mereka dan turut dirampas ialah tiga bangkai binatang liar selain beberapa bahagian binatang yang sudah siap dipotong untuk dibawa keluar.

“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang dipercayai membayar sejumlah wang kepada dalang terbabit yang mahir dalam selok belok memburu binatang liar di kawasan hutan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut.

“Semua suspek dipercayai menjadi dalang utama kegiatan pemburuan haram di kawasan hutan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Sementara itu, Mashor turut memberi peringatan kepada pemilik ladang terutama yang bersempadan dengan hutan simpan supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan pekerja mereka tidak terbabit dengan aktiviti pemburuan haram.

“Pemilik ladang juga perlu mengetatkan kawalan di pintu masuk atau pos kawalan di ladang mereka bagi mengelak pemburu haram menggunakan laluan itu untuk berburu dalam kawasan hutan simpan,” katanya.