
MEMBAKUT: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan memperuntukkan kira-kira RM100,000 untuk menaik taraf jalan menuju ke Surau Kampung Pantai Sri Gading, dekat sini.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, projek menaiktaraf jalan gravel ke jalan konkrit itu dijangka akan dilaksanakan tahun ini dan ia dijangka bakal memberi keselesaan kepada masyarakat Islam di kampung berkenaan.
“Pada tahun lalu, saya telah menerima permohonan daripada penduduk Kampung Pantai Sri Gading melalui Datuk Ismaily Bungsu yang memohon kepada KPLB Sabah untuk menyelenggara surau ini dan saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM70,000 untuk tujuan itu.
“Fasa kedua penaiktarafan jalan menuju ke surau ini melibatkan peruntukan lebih kurang RM100,000 yang saya persetujui untuk dilaksanakan tahun ini.
“Selepas melihat sendiri keadaan jalan tersebut, saya dapati ia memang perlu dinaiktaraf ke jalan konkrit,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau kerja-kerja penyelenggaraan Surau Kampung Pantai Sri Gading, Membakut, sempena lawatan kerjanya di sini, semalam.

Ewon berkata, peruntukan untuk menyelenggara surau dan menaik taraf jalan menuju ke surau itu adalah antara sumbangan dan keprihatinan kerajaan negeri menerusi KPLB Sabah untuk masyarakat Islam di kampung berkenaan.
Beliau berkata, secara keseluruhannya, KPLB Sabah hanya menerima sedikit permohonan untuk menyelenggara surau kerana kampung-kampung lain mempunyai peruntukan sendiri yang dikendalikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah.
“KPLB Sabah hanya menerima beberapa permohonan daripada penduduk kampung khususnya di perkampungan Mini Estate Sejahtera (Mesej) dan Kampung Sejahtera,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ