LAHAD DATU: Seorang lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah di daerah ini dicekup polis dalam operasi ‘Op Tapis’ di Jalan Tengah Nipah, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dalam serbuan jam 11.50 malam itu, polis yang bertindak atas maklumat berjaya menahan lelaki berusia 32 tahun yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan serbuan.

“Hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik berisi dadah jenis syabu yang disimpan di dalam beg pinggang.
“Paket plastik berkenaan mengandungi dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dadah syabu seberat 5.30 gram yang dipercayai bernilai RM795 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nazri berkata, pihaknya turut menemui 10 gulung kertas timah yang dipercayai untuk digunakan menagih dadah.
“Suspek bersama dadah yang dirampas kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis metaphetamine selain turut mempunyai kes jenayah lampau membabitkan Seksyen 15(1)(a) ADB di Daerah Kunak pada tahun 2018.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK