KOTA KINABALU: Seorang pegawai polis maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tun Fuad Stephen, di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 3.45 pagi selepas mangsa, Samuel Anny @ Enih, 46, yang berpangkat Deputi Superintendan (DSP) dari Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kinarut, memandu kenderaannya di laluan bertentangan di jalan terbabit.
Berikutan itu, kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa dari arah pusat bandar raya kemudian bertembung dengan kereta Ford Ranger yang datang dari arah Teluk Likas.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu Ford Ranger terbabit iaitu seorang lelaki berusia 19 tahun hanya cedera ringan di mulut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, akibat pertembungan antara dua kenderaan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh doktor dari Hospital Likas manakala pemandu Ford Ranger hanya cedera ringan dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Habibi berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HQE I untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK