KIMANIS: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Junz Wong menggesa pengundi Kimanis, khususnya para nelayan supaya tidak mengulangi kesilapan mengundi Barisan Nasional (BN).
Junz, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata, kerajaan baharu Sabah sejak mengambil alih pucuk pimpinan pentadbiran negeri sentiasa berusaha keras agar hak-hak Sabah yang digadai oleh BN sebelum ini dikembalikan.
Merujuk kepada lesen laut dalam sebagai contoh, Junz berkata tiada sebab munasabah untuk mengundi BN yang bertanggungjawab menyerahkan hak orang Sabah.
“Kerajaan Sabah di bawah BN sebelum ini menyerahkan kuasa mengeluarkan lesen laut dalam kepada Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan BN kemudiannya mengeluarkan lesen-lesen laut dalam kepada bot-bot Vietnam.
Hasilnya para nelayan tempatan mengalami kemerosotan hasil tangkapan.
“Kini, Kerajaan baharu Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah berjaya mencapai kata sepakat bersama Kerajaan Persekutuan, di mana lesen-lesen laut dalam tidak akan lagi dikeluarkan tanpa persetujuan Kerajaan Negeri Sabah.
“Dan sehingga hari ini, tidak ada satu pun lesen baru dikeluarkan,” katanya.
Junz berkata, Jawatankuasa Khas Kabinet Berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 telah bersetuju mengembalikan kuasa pengeluaran lesen laut dalam kepada Kerajaan Negeri Sabah.
“Jadi sebab apa kita perlu beri peluang kedua kepada BN untuk menggadai lagi hak Sabah, sedangkan Warisan telah memulakan perjuangan mengembalikan maruah dan hak Sabah”, tegasnya.
Junz berkata, kerajaan negeri telah menguatkuasakan polisi untuk menenggelamkan setiap satu bot-bot negara asing yang menceroboh kawasan perairan Sabah.
“Kita nak hantar mesej yang jelas bahawa Kerajaan Warisan serius dalam melindungi hak dan kepentingan orang Sabah,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ