MEMBAKUT: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick meninjau keperluan pembangunan kecil di Membakut dan Bongawan bagi memastikan tidak ada kampung tercicir dalam arus pembangunan luar bandar.
Beliau berkata, dalam program “turun padang” selama tiga hari bermula Khamis lalu di kawasan itu, beliau mendapati terdapat pelbagai keperluan penduduk kampung termasuk penyediaan kemudahan asas seperti jalan kampung, air graviti, jambatan gantung dan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Kita telah melawat lima buah kampung iaitu Kg Tiong Baru untuk merasmikan Kampung Sejahtera, Kg Lumat untuk meninjau kerosakan jambatan-jambatan gantung dan bekalan air graviti, Kg Labak tinjau kerosakan jalan dan saliran parit, di Kg Tomui kita meninjau kerosakan tebing sungai dan di Kg.Kinanap meninjau kerosakan rumah yang memerlukan rumah PPRT.
“Berdasarkan lawatan di kampung-kampung berkenaan, saya dapati banyak keperluan infrastruktur asas terutamanya berkaitan jambatan gantung, bekalan air graviti dan jalan-jalan kampung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Kg.Kinanap Membakut, di sini.
Sehubungan itu, Ewon berkata, beliau akan mengagihkan sebahagian peruntukan di bawah kementeriannya untuk membantu menyelesaikan beberapa masalah yang berada di bawah bidangkuasa Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah.
“Saya telahpun bersetuju supaya sejumlah peruntukan KPLB Sabah diagihkan kepada kampung-kampung yang telah kita lawati untuk menyelesaikan masalah mereka.
“Berkenaan dengan rumah PPRT, saya akan kemukakan perkara ini kepada Pejabat Daerah Kecil Membakut supaya proses pemilihan dapat mengambil kira rumah yang telah kita lawati, sebab pemilihan untuk penerima bantuan rumah PPRT diputuskan di peringkat Jawatankuasa Focus Group pejabat daerah kecil Membakut,” katanya.

Beliau turut meninjau beberapa projek pembangunan kecil luar bandar yang telah siap menggunakan peruntukan KPLB Sabah.
Selain melawat kampung-kampung di kawasan Membakut dan Bongawan, Ewon turut menyertai perarakan ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir Beaufort bersama para pemimpin parti-parti kerajaan seterusnya memberi sokongan kepada calon Warisan.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ