KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan laporan polis yang dibuat UMNO berhubung sambutan Krismas di Membakut, kelmarin, sesuatu yang luar dari kebiasaan.
Katanya, belum pernah sebelum ini sambutan Krismas di Sabah dikenakan apa-apa sekatan, lebih-lebih lagi perayaan itu antara terbesar di negeri ini kerana jumlah masyarakat Kristian yang ramai dan kadang-kadang ianya berterusan disambut sehingga bulan Januari.
“Krismas pun mereka mahu lapor polis, orang mahu raikan biarlah suka hati merekalah mahu derma semua suka hati merekalah sebab itu Krismas kita tidak boleh batalkan ada perayaan selepas 25 haribulan secara kebetulan mereka mahu raikan, sudah rancang lama dan bersekali dengan pilihan raya kecil Kimanis, ada lagi yang dianjurkan selepas Krismas.
“Itu masyarakat mereka jadi ialah kalau kita melihat daripada segi tujuan hanya politikkan semua perayaan pun kita politikkan kita mesti menghalang seuatu apa yang mereka lakukan ini.
“Ini pertama, saya tidak pernah dengar ada sekatan sana jangan buat, ini tidak boleh itu jangan ‘dont do the jinggle’ jangan bagi sedekah, itu terserah kalau secara kebetulan mereka anjur, kita dijemput sebagai pemimpin takkan musim hari raya kita jemput mereka datang kalau mereka jemput tidak datang macam mana rasa dia,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.
Terdahulu hari ini, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Beaufort, Mohd. Fadzli Misdeh membuat laporan polis berhubung sambutan Krismas itu kerana mendakwa membabitkan pemberian hadiah.
Kelmarin, UMNO Online melaporkan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan mahu laporan dibuat kerana pemberian hadiah itu bertentangan dengan Akta Pilihan Raya.
Bagaimanapun, pengerusi penganjur sambutan berkenaan, Peter Chang menyelar tuduhan berkenaan kerana mendakwa program berkenaan adalah hasil gotong-royong dan kutipan dana penduduk Kristian Membakut.
Presiden UPKO yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, ketika berucap sempena sambutan Krismas itu turut mengingatkan rakyat di Kimanis supaya menolak sebarang usaha pihak luar untuk mengembangkan unsur ekstremism agama yang boleh mengakibatkan perpecahan perpaduan.
Katanya, rakyat Sabah juga seharusnya tidak perlu takut dengan Pas Sementara Sabah (PSS) sebaliknya perlu lebih berhati-hati dengan kehadiran Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ke negeri ini.
“PSS bukanlah sesuatu yang harus ditakuti kerana ia hanya setakat pentadbiran.
“Rakyat tidak harus takut kepada PSS tapi apa yang kita harus berhati-hati adalah PAS kerana kita harus elakkan Sabah daripada mempunyai pelampau agama.
“Seperti kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kita berlainan tapi kita orang Sabah, hati kita satu.
“Jangan termakan dengan kata-kata mereka (Umno/PAS) … yang kita mahu tolak di Sabah adalah parti yang kali-kali mau jadi tuan, kita mahu tolak Umno dan Pas,” katanya.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius