KIMANIS: UMNO Bahagian Kimanis menerima tamparan hebat apabila 504 ahli parti itu menyertani Parti Warisan Sabah (Warisan), semalam.
Daripada jumlah itu, 387 orang adalah daripada Kampung Brunei Membakut, diketuai oleh Madi Dullah, mengumumkan keluar parti dan menyerahkan borang keahlian kepada presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Selain itu juga, tujuh cawangan baharu Warisan turut ditubuhkan iaitu cawangan Seri Danau seramai 55 orang ahli, Harapan Jadi (63 orang), Pamparingan (54 orang), Gangas (56 orang), Paya Besar (52 orang), Batu Tiga Lama (53 orang), dan Batu Tiga baru (54 orang).
Shafie turut menerima borang keahlian daripada seramai 117 ahli baru yang juga bekas ahli UMNO pada majlis perasmian cawangan baharu parti itu di Kampung Kelatuan.

Beberapa individu yang menyerahkan borang keahlian ketika ditemui berkata mereka bertindak demikian kerana sudah bosan dengan segala penipuan dan pembohongan UMNO selama ini dan tidak mahu siapapun pemimpin parti itu datang ke kampung mereka dan menabur janji-janji palsu.
Shafie dalam ucapannya pada majlis itu berkata, BN dan UMNO merupakan sebuah parti yang hanya pandai membuat janji semata-mata untuk menambat hati rakyat agar terus menyokong parti itu.

“Saya bagi contoh di Kimanis sahaja lah. Apa yang BN UMNO telah laksanakan sejak sekian lama bertapak di negeri ini.
“Kita tanya mereka..apa yang mereka telah buat untuk rakyat Kimanis. Cukup-cukuplah berbohong kepada rakyat,” katanya.
Shafie turut berkata, dua perkara dibangkitkan dalam kempen BN UMNO iaitu Pas Sementara Sabah (PSS) dan Lebuh Raya Pan Borneo adalah kerana mereka sudah tidak ada modal untuk diutarakan kepada rakyat.
Katanya, disebalik kempen pembohongan BN UMNO, beliau yakin rakyat Kimanis akan mengundi Warisan pada tarikh pengundian nanti.
“Saya juga minta rakyat Kimamis supaya mengundi calon Warisan, iaitu saudara Datuk Karim Bujang agar mereka mempunyai suara di Parlimen,” katanya lagi.
Majlis berkenaan turut dihadiri Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony serta rakan parti daripada UPKO, dan PKR.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius