BUNG : MINTA DUIT DARI WARISAN

KOTA KINABALU: Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin dilaporkan menyeru pengundi di Kimanis supaya meminta daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) sekiranya parti pemerintah itu tidak memberi wang kepada mereka.

Menurut laporan portal berita Malaysiakini, seruan itu dibuat ketika ahli parlimen Kinabatangan itu berucap dalam satu ceramah Barisan Nasional (BN) di Kimanis, malam tadi.

“Saya dengar dia (Warisan) mahu bagi duit, ambil. Dia mahu bagi apa ambil, kalau dia tak bagi, minta. Ambil saja, mereka pemerintah.

“Inilah masanya, ini saatnya, ini kalilah kita ubah balik. Ini waktu kita singkir kerajaan yang zalim, kalau mahu ajar Warisan kita mula di Kimanis,” kata Bung seperti dilaporkan portal berkenaan.

Malaysiakini turut melaporkan Bung bagaimanapun mengingatkan pengundi pada pilihan raya kecil itu supaya jangan sesekali mengundi calon Warisan, Datuk Karim Bujang.

Katanya, kuasa wang yang dimiliki Warisan tidak mampu menghalang kemaraan rakyat di Kimanis.

“Dia jangan lupa kalau rakyat mahu menolak Warisan, kuasa wang ringgit Warisan tak mampu menghalang kemaraan rakyat di sini.

“Saya sakit hati sebab mereka sebelum ini dari BN, dapat jawatan dari BN, selepas itu (keluar BN) kata tak ada pembangunan.

“Sabah for Sabahan tak apa, ini orang rumah orang Malaya juga, lepas pilihan raya umum dia (Warisan) bergabung dengan DAP dan PKR,” katanya.

Sementara itu, Malaysiakini juga melaporkan yang Bung memberi jaminan parti-parti pembangkang lain termasuk PAS yang kini bersama Umno dan Muafakat Nasional akan turut serta membantu kempen BN.