PERKARA BIASA DI SABAH, TAPI KITA SIASAT — OMAR

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, walaupun cabutan hadiah bertuah dalam majlis sambutan Krismas adalah perkara biasa di negeri ini, namun pihaknya akan percepatkan siasatan berhubung laporan polis yang diterima sebelum ini.

Katanya, setakat ini pihaknya telah menerima dua laporan polis dan satu daripadanya akan disiasat.

“Laporan polis kita terima berkaitan dengan satu sambutan Krismas yang diadakan di Membakut dan dalam sambutan itu ada cabutan bertuah diadakan.

“Pihak yang membuat laporan menganggap cabutan bertuah itu adalah sogokan kepada pengundi di kawasan berkenaan.

“Cabutan bertuah ketika perayaan Krismas adalah perkara biasa di Sabah namun kita akan percepatkan siasatan berhubung perkara ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Jauteh Dikun.

Omar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Satu lagi laporan polis akan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Semalam, Pemuda Umno membuat laporan polis berkenaan sambutan Krismas dan Tahun Baharu di Membakut yang menawarkan hadiah bertuah kepada pengunjung selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis selesai.

Laporan dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Beaufort, Mohd Fadzil Misdeh yang mendakwa tindakan Parti Warisan Sabah (Warisan) itu menyalahi Seksyen 8 dan 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sementara itu mengenai dakwaan telefon bimbit Pemuda Umno itu mahu dirampas, Omar berkata pihaknya tidak menerima apa-apa laporan mengenai kejadian itu.

“Normal, apabila polis menjalankan siasatan dan pengadu itu memberi bukti gambar melalui telefon bimbit, maka telefon itu diambil oleh polis sebagai exhibit, bukan merampas… jika betul dakwaan itu,” jelasnya.