KIMANIS: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Junz Wong hari ini memperincikan bagaimana sumber hasil Sabah, khususnya dalam industri sarang burung walit digadai kepada pihak lain oleh Barisan Nasional (BN) sehingga mengakibatkan terbantutnya pembangunan ekonomi Kimanis.
Beliau menerangkan satu kilo sarang burung walit diproses mampu menjana sekitar RM8,000 sehingga RM12,000. Ada yang cecah RM15,000 sekilo.
“Tapi di zaman BN, usahawan tani dan pengusaha Sabah terpaksa menghantar hasil kutipan ke Semenanjung Malaysia untuk tujuan pemprosesan dan harganya dalam sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sahaja.
“Sungguh merugikan dan akhirnya yang untung hanya pemproses Semenanjung Malaysia yang menjual sarang burung walit diproses dengan harga premium.
“Sebabnya di zaman BN, orang-orang Sabah telah dinafi lesen pemprosesan dan kuasa kelulusan berada dalam tangan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Junz, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata, keadaan hari ini berbeza kerana Warisan memimpin Kerajaan Sabah.
“Kerajaan Sabah hari ini boleh meluluskan permit pemprosesan sarang burung walit dan Warisan telah berjaya menuntut semula kuasa meluluskan lesen sarang burung walit untuk kebaikan Sabah.
“Ini bukan cakap kosong kerana kita ada bukti. Sebuah kilang di Batu Sapi telah menjadi pemegang lesen eksport sarang burung walit pertama dan sijil berkenaan diluluskan hujung tahun lalu,” katanya
Beliau berkata, kini, pengusaha dan usahawan tani tempatan yang berhasrat memproses sarang burung walit untuk tujuan eksport mampu menggandakan pendapatan masing-masing.
Malah katanya, pelbagai pekerjaan baru dalam sektor downstream berjaya diwujudkan.
Beliau menambah, Kimanis telah dikenal pasti sebagai tempat penumpuan sarang burung walit seperti yang dirancang melalui Pelan Pembangunan Pertanian 2020-2030 yang diumum tahun lalu.
“Maka sebuah pusat pengumpulan sarang burung walit akan ditubuhkan,” katanya.
Junz berkata, selari dengan perkembangan industri sarang burung walit, pelbagai jenis pekerjaan baru dan aktiviti-aktiviti ekonomi dalam sektor downstream telahpun diwujudkan.
Katanya, satu Lembaga Sarang Burung Walit Sabah telah dicadang demi membela kepentingan pengusaha-pengusaha sarang burung walit.
“Warisan tidak mahu perkembangan baik setakat ini dimansuhkan oleh pihak-pihak tertentu suatu hari nanti.
“Jadi janganlah mengulangi kesilapan membenarkan BN menyerah kepada pihak lain hak-hak dan sumber hasil Sabah,” katanya.
More Stories
Datuk Nelson Hulur Bantuan kepada Mangsa Banjir dan Tragedi Tanah Runtuh di Papar
Datuk Nelson Suarakan Isu Jalan Pan Borneo Dan Pusingan P’ Di Kampung Mook Kinarut
UPKO kukuhkan pengaruh di Papar, lancar cawangan dan terima 100 ahli baharu di Kampung Novoung