PRODUK PELANCONGAN BAHARU TARIK PELANCONG

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan melancarkan produk pelancongan baharu untuk menarik lebih ramai pelancong ke Sabah, di samping memikat pelancong dengan keunikan alam semula jadi dan masakan yang lazat.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew berkata, kementeriannya akan mempromosikan pelancongan sukan, perubatan dan pendidikan untuk menarik lebih ramai pelancong.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan meningkatkan kemudahan sukan sedia ada, termasuk membaik pulih Kompleks Sukan Likas, di sini.

Beliau berkata, kerajaan juga telah meminta penyedia penjagaan kesihatan swasta, termasuk Hospital Gleneagles Kota Kinabalu dan Hospital Pakar KPJ Sabah untuk meningkatkan kemudahan perubatan mereka.

“Bagi pelancongan pendidikan, kita berharap dapat menarik lebih ramai pelajar Indonesia untuk melanjutkan pengajian di Sabah berikutan penempatan semula ibu negara Indonesia ke Kalimantan,” katanya, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri.

Sementara itu, Christina berkata kerajaan negeri sedang mengkaji untuk membina sebuah studio perfileman dan akademi di Kinarut dengan matlamat untuk menarik minat penggiat filem dari China bagi mempelajari kemahiran dan pengetahuan industri perfileman di sini.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan ekonomi menerusi sektor pelancongan,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Masyarakat Cina Bersatu Sabah (USCCAKK) diketuai presidennya, Datuk Susan Wong Siew Guen, di sini, semalam.

Tujuan kunjungan hormat itu adalah untuk menjemput Christina ke Festival Tarian Singa, Naga dan Unicorn sempena Tahun Baru Cina 2020, bertempat di Kompleks Sukan Likas pada 11 Januari 2020.

Terdahulu, Susan turut mengucapkan terima kasih kepada Christina diatas sokongan dan sumbangannya untuk acara tersebut.

Beliau juga memuji Menteri itu yang telah memendekkan percutiannya di luar negara untuk kembali ke Sabah bagi menyelesaikan insiden yang membabitkan empat pelancong China ditahan selama 18 hari kerana masalah pengesahan paspot.

“Dengan campur tangan Christina, pelancong China akhirnya dibebaskan dan dapat kembali ke China.

“Dedikasinya terhadap industri pelancongan dan kesanggupan untuk mengorbankan masa peribadi untuk tugasnya sangat mengagumkan,” kata Susan.

Dalam usaha untuk memastikan komunikasi yang lebih berkesan antara pelancong China dan pegawai imigresen, Christina telah meminta Jabatan Imigresen meletak notis mengenai undang-undang dan peraturan imigresen Sabah dalam bahasa Mandarin di setiap kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), serta meningkatkan bilangan Pegawai berbahasa mandarin di jabatan itu.

Susan turut menyambut baik kecekapan Christina dalam pertemuan dengan Jabatan Imigresen Sabah dan pengurusan lapangan terbang KKIA dan kemudian mengambil tindakan untuk mengelak berulangnya pelancong asing yang gagal mendapatkan pasport mereka dicop (disahkan) ketika tiba di KKIA.

Dalam pada itu, Susan berkata Festival Tarian Singa, Naga dan Unicorn sempena Tahun Baru Cina 2020 akan berlangsung dari jam 12.30 tengahari hingga 7.00 malam pada 11 Januari.

Program berkenaan merangkumi persembahan kumpulan tarian singa, naga dan unicorn yang menakjubkan, penampilan istimewa oleh God of Fortune, pertunjukan 24 pemalu gendang dan tarian naga bercahaya.

USCCAKK turut menjemput Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal sebagai tetamu kehormatan untuk upacara perasmian perayaan tersebut.

Bersempena dengan perayaan itu, persatuan itu akan menganjurkan Pameran Kampung Budaya Cina di mana pengunjung akan mencuba teh tradisional Cina, pastri dan hidangan istimewa di koridor Kompleks Sukan Likas dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Pameran yang akan dirasmikan oleh Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Liang Caide, juga termasuk Miss Cheongsam dan pertandingan Tang Suit.

Delegasi USCCAKK juga dijemput oleh Christina ke rumah terbuka Tahun Baru Cina Kerajaan Negeri Sabah, di Dewan Hakka, Tanjung Lipat Kota Kinabalu pada 26 Januari, hari kedua Tahun Baru Lunar, dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *