KES SAMUN PEMANDU GRAB, KERETA MANGSA DITEMUI

PAPAR: Kenderaan milik pemandu Grab wanita yang dilarikan suspek selepas menyamun mangsa di Kinarut, tengah hari tadi, ditemui semula.

Kereta jenis Perodua Myvi warna ungu itu ditemui orang awam kira-kira jam 7 malam di hadapan sebuah rumah di Taman Mook Ideal, Kinarut, kira-kira 14 kilometer dari lokasi kejadian iaitu di Kampung Gana.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, wanita berusia 59 tahun terbabit cedera di kepala dan muka apabila disamun lelaki yang juga penumpangnya.

Mangsa ditinggalkan di tepi jalan Kampung Gana dalam keadaan mukanya berdarah.

Ketua Polis Daerah Papar sebelum ini berkata, pihaknya percaya dalam masa terdekat suspek terbabit akan dapat diberkas.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta supaya tampil ke balai polis berhampir bagi membantu polis menjalankan siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394/379 Kanun Keseksaan.