SINDIKET BAJA TUMPAS, TUJUH DITAHAN

LAHAD DATU: Dua pemandu lori ‘gelap mata’ apabila tergamak menjual sebanyak 2,450 guni berisi baja sawit dianggarkan bernilai RM656,852 milik majikannya.

Bagaimanapun tindakan lelaki berusia 32 dan 38 tahun itu ‘memakan diri’ apabila dicekup polis dalam serbuan di sebuah gudang persendirian di dalam ladang kepala sawit Batu 4, Jalan Lahad Datu – Sandakan, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, polis turut menahan lima lelaki termasuk mandur gudang berkenaan.

“Ketika semua, semua suspek kelihatan sedang memunggah baja itu dari dua lori yang dipenuhi muatan 1,200 guni berisi 60 tan baja sawit.

“Hasil serbuan itu menahan lima pekerja gudang dan dua pemandu lori baja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hari ini.

Nasri berkata, pemeriksaan seterusnya menemukan 2,450 guni berisi baja di dalam gudang berkenaan.

“Siasatan yang dilakukan terhadap seorang suspek yang juga mandur di gudang persendirian itu mendapati dia didatangi dua pemandu lori milik sebuah syarikat swasta.

“Kedua-dua pemandu lori itu mahu menjual sebahagian baja muatan lori berkenaan sebelum dihantar ke destinasi yang diarahkan oleh majikan mereka.

“Baja itu akan dijual dengan harga murah kepada sindiket baja sebelum dibungkus semula dan dijual di pasaran daerah ini,” katanya.

Tambah Nasri berkata, modus operandi kes ini mendapati pemandu lori berkenaan akan singgah ke gudang itu dan menjual sebahagian daripada baja terbabit sebelum dihantar ke destinasi tujuan.

“Siasatan turut mendapati sindiket jual baja ini sudah beroperasi sejak awal tahun lalu.

“Semua baja bernilai RM656,852 dirampas manakala semua suspek berusia 17 hingga 38 tahun mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah,” katanya.