Oleh Willie Jude
KOTA KINABALU: Tahun 2020 akan menjadi satu lagi tahun yang mencabar buat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah, sama ada dari segi ekonomi ataupun politik.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, bagaimanapun tetap komited dan mahu kementeriannya itu meneruskan tanggungjawab bagi melaksanakan dua misi yang diberikan iaitu mensejahterakan luar bandar serta membasmi kemiskinan.
“Saya yakin kita boleh melaksanakan misi kementerian kita dengan memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu dan menambahbaik program-program sedia ada, termasuklah memperkasakan struktur organisasi pentadbiran dan pendigitalan perkhidmatan kementerian kita.
“Usaha-usaha ini harus dilaksanakan mengambilkira pelbagai ikhtibar yang telah kita tempuhi selama ini,” katanya ketika menyampaikan amanat KPLB di Dewan KPLB Sabah, di sini, hari ini.

Ewon berkta, tahun ini merupakan tahun akhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11, 2016-2020 (RMK11) dan adalah tahun perancangan bagi Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2025 (RMK12).
Sehubungan itu, katanya, peranan KPLB Sabah, khususnya para pegawai daerah sangat penting bagi memastikan hasrat rakyat menikmati tahap pembangunan yang lebih baik dalam RMK12 dapat dicapai.
“Kita ambil ikhtibar insiden-insiden yang memungkinkan hasrat rakyat tersebut tidak dapat dicapai atau tertangguh semasa rancangan yang lepas, misalnya kelewatan untuk memulakan projek-projek pembangunan yang telah tersenarai kerana pelbagai faktor yang telah dibincangkan sehingga di peringkat Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri.
“Bermula pada tahun ini, mesyuarat Majlis Tindakan Daerah akan dipengerusikan oleh menteri, timbalan menteri atau wakil rakyat terkanan di daerah berkenaan.
“Mudah-mudahan dengan pendekatan baharu ini dapat merealisasikan hasrat rakyat untuk menikmati pembangunan berimpak dengan koordinasi dan kerjasama semua agensi dan kerajaan di daerah yang diketuai oleh pegawai daerah,” katanya.

Sementara itu, Ewon berkata, mesyuarat kabinet pada minggu lalu juga telah menyemak semula gred pegawai-pegawai kanan kerajaan termasuk semua Setiausaha Tetap dan Pegawai Daerah.
Katanya, dalam semakan berkenaan, sebanyak enam daerah telah dinaikkan gred daripada N52 kepada N54 dan Ini menjadikan sebanyak 13 daerah kini menikmati gred N54 untuk Pegawai Daerah.
“Saya percaya semakan bagi pegawai pengurusan peringkat kedua dan ketiga juga akan dilaksanakan.
“Ini adalah penghargaan dan pengiktirafan kerajaan kepada kesemua anggota perkhidmatan awam yang boleh mengisi jawatan-jawatan ini berdasarkan kepada merit dan kekananan.
“Justeru, saya berharap ini bukan hanya memberikan motivasi tetapi lebih penting dan utama adalah meningkatkan prestasi dan impak perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ