DUA LAGI KANAK-KANAK POSITIF VIRUS POLIO

Oleh Wartawan BS

SANDAKAN: Dua kanak-kanak masing-masing di Sandakan dan Kinabatangan disahkan positif virus polio.

Kanak-kanak berusia lapan dan 11 tahun itu disahkan mengidap virus berkenaan berdasarkan ujian Makmal Polio Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Australia, kelmarin.

Kes terbaharu itu menjadikan tiga kes polio dilaporkan di negeri ini, selepas yang pertama membabitkan bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, dengan ujian turut mendapati virus yang menjangkiti ketiga-tiga kes mempunyai kaitan genetik dengan kes polio di Filipina.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullahz, berkata, dua kanak-kanak itu tidak pernah menerima imunisasi sebelum ini.

Katanya, kanak-kanak berusia 11 tahun dimasukkan ke hospital pada 1 Disember lalu selepas mengadu sakit belakang dan tidak dapat berjalan, manakala seorang lagi yang berusia lapan tahun mengalami demam sejak 9 Disember dan selepas tiga hari, tidak boleh berjalan.

“Semua kanak-kanak ini masih dirawat dan dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Noor Hisham lagi, siasatan rapi telah dijalankan untuk mengenal pasti punca jangkitan kedua-dua kes sebaik dikenal pasti sebagai kes Accute Flaccid Paralysis (AFP).

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 705 orang penduduk di kawasan tempat tinggal kedua kanak-kanak terbabit sudah diperiksa dan tiada kes AFP lain dikesan.

“Seramai 65 kanak-kanak didapati tercicir imunisasi polio di kawasan kes dan telah diberi vaksin polio menggunakan kombinasi lima serangkai serangkai (DTaP-IPV//HiB),” katanya lagi.