CHRISTINA : SELAMAT BERSARA WILLIAM BAYA

Oleh Wartawan BS

KOTA KINABALU: Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk William Baya, yang akan bersara disifatkan sebagai seorang pegawai kerajaan yang baik dan bertanggungjawab.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew, berkata, kesabaran tinggi menjadikan William seorang pegawai berkualiti sehingga mampu melaksanakan tanggungjawab beliau selama 37 tahun dengan kerajaan.

“Beliau (William) menyertai semula kementerian ini sebagai Setiausaha Tetap pada Januari 2019 dan sebagai ketua pentadbiran kepada kementerian, beliau telah memimpin dengan baik selama hampir setahun sehinggalah beliau bersara hari ini.

“Beliau juga selalu memberi respon apabila dihubungi walaupun pada tengah malam sekiranya ada sesuatu penting berlaku.

“Dengan pengalamannya sebagai pegawai kerajaan juga, kementerian ini telah banyak membangun menerusi enam agensi yang ada, kami lalui banyak pengalaman jatuh dan bangun, tapi saya fikir bangun lebih banyak…saya harap dapat kekalkan dia (William).

“Walaupun beliau akan menikmati persaraannya nanti dengan bermain golf, jalan-jalan dan mungkin juga bermain muzik dengan rakan-rakan, saya harap beliau akan terus menyumbang apabila kita perlukan nasihatnya nanti,” katanya pada majlis perpisahan sempena persaraan William, di sini, semalam.

Bagi pihak kementerian, Christina turut merakamkan penghargaan kepada William atas sumbangan beliau kepada negeri ini.

William mula bertugas dengan kementerian pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar pada 1999 dan 16 tahun kemudian beliau dilantik sebgai pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah dan William juga pernah dilantik sebagai pengurus besar Lembaga Kebudayaan Sabah.

“Saya doakan anda (William) diberi kesihatan baik, selamat maju jaya dengan persaraan anda dan luangkan lebih banyak masa dengan keluarga dalam kehidupan baharu selepas bersara nanti…selamat bersara,” katanya lagi.

William yang akan masuk usia 60 tahun esok turut menerima jam tangan mewah jenama Tissot sebagai hadiah penghargaan dan perpisahan daripada Christina bagi pihak kementerian.

Sementara itu, William turut menerima sebuah gitar daripada Lembaga Pelancongan Sabah (STB) yang disampaikan pengurus besarnya, Noredah Othman.

Turut hadir pada majlis yang diadakan itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Assafal P Alian; Timbalan Setiausaha Tetap kementerian, Mariam Omar Matusin; Pengerusi Taman-Taman Sabah (TTS), Mohd Amin Abdul Mem; Pengarah TTS, Dr Jamili Nais; Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL), Augustine Tuuga; Pengarah Muzium Negeri Sabah, Arif Abdul Hamid; Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Vitalis Moduying dan Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan, Mansur Asun.