APMM GAGALKAN CUBAAN BOM IKAN

Oleh Wartawan BS

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan dua lelaki yang menaiki dua bot pam dipercayai melakukan aktiviti pengeboman ikan di perairan Pulau Bait, di sini, pada Sabtu.

Pengarah APMM Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot peronda APMM Semporna yang sedang menjalankan tugas rutin menahan dua buah bot pam berhampiran pulau berkenaan, kira-kira jam 2 petang selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika anggota APMM Semporna cuba menahan dua bot pam selepas didapati bergerak dalam keadaan mencurigakan seorang juragan bot terjun ke dalam laut.

“Namun anggota APMM berjaya menahan dua bot itu dan didapati seorang juragan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri berusia 35 tahun dipercayai palauh berada di atas salah sebuah bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Norrimi berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua bot pam itu turut menemui alatan mengebom ikan bersama hampir tujuh kilogram ikan disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Hasil rampasan termasuk bot dan enjin dua bot itu dianggarkan bernilai RM6,210.

“Semua barang rampasan itu ditunda masuk ke Jeti Kem Azumi Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

Sementara itu, Norrimi berkata, berdasarkan rekod, kes ini adalah kes tangkapan yang kedua oleh APMM Semporna pada tahun ini.

“Maritim Semporna akan terus komited untuk membanteras aktiviti mengebom ikan di perairan daerah ini dengan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

“Orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan ke Zon Maritim Semporna melalui talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya.