Oleh Wartawan BS
LAHAD DATU: Seorang lagi mangsa culik warga Indonesia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Lahad Datu, September lalu, berjaya diselamatkan malam tadi.
Mangsa Muhammad Farhan, 27, diselamatkan oleh pasukan keselamatkan Filipina di selatan Filipina.
Susulan kejayaan itu, semua mangsa culik warga Indonesia yang diculik di perairan Geem Reef Tambisan, Lahad Datu, pada 23 September lalu berjaya diselamatkan.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan bahawa Muhammad diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina.
“Kita masih berhubung dengan pasukan keselamatan Filipina untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Muhammad,” katanya.
Pada 23 September lalu, Muhammad bersama dua lagi rakannya Maharudin Lunani, 48, dan Samiun Maneu, 27, warga Indonesia bekerja sebagai nelayan dilaporkan diculik di perairan Lahad Datu, berhampiran sempadan selatan Filipina dengan kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 11.50 pagi.
Bagaimanapun Maharudin dan Samiun berjaya diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi ketenteraan di Sulu, selatan negara itu, pada 22 Disember lalu.
Menurut sumber, sebaik saja mendapat maklumat, pasukan keselamatan melakukan pencarian sebelum menemui bot kosong dengan enjin masih hidup di perairan berkenaan.
Ketiga-tiga mangsa dipercayai diculik tujuh lelaki bersenjata, sebelum melarikan diri ke arah perairan Pulau Tawi-Tawi, di selatan Filipina.
Difahamkan, kedua-dua mereka sudah kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK