26 NGO, SYARIKAT BERGABUNG ANJUR KEMPEN DERMA DARAH

Oleh Wartawan BS

PENAMPANG: Sempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan menjelma tidak lama lagi, Persatuan Penderma Darah Sabah (PENDARAH) bersama 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat akan mengadakan Kempen Derma Darah pada 25 dan 26 Februari ini.

Program berkenaan akan berlangsung  di ruang legar di tingkat bawah ITCC Penampang, bermula jam 10:30 pagi hingga jam 4 petang.

Presiden PENDARAH, Alix Sunggin, berkata, antara NGO lain yang bekerjasama dengan mereka untuk program berkenaan ialah Pertubuhan Orang Asal Sabah (Orang Asal), Akademi Forex Malaysia (AFM), Pertubuhan Komuniti Penderma Darah Malaysia (PERDARAH), ITCC Penampang, Persatuan Thalassaemia Sabah (Thalassaemia), Event Finders, dan Ahmadiyya Muslim Community.

Alix (lima dari kanan) menerima sumbangan pembelian ‘Goodies’ daripada Persatuan Kebajikan Bambarayon Kampung Kopungit, Kota Kinabalu (Bambarayon) yang disampaikan Pengerusinya Willie Belugu (enam dari kanan) serta disaksikan ahli-ahli dan AJK Bambarayon.

“Selain itu, pihak lain yang turut bekerjasama ialah Persatuan Kebajikan Bambarayon Kampung Kopungit Kota Kinabalu (Bambarayon), Pertubuhan Kebajikan Melati Sabah (Melati), Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Nuluh Kopungit (Pekebun), Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Hitam Sabah (PLAS), McDonald’s, AtukoiFM, ArtVision, MSU Collage Sabah, Green Buddy, Pertubuhan Kebajikan An Nur Inanam, D’Seven Travel & Tours Sdn Bhd, BeritaSabah.com, Kinabatangan Wildlife Lodge, D7’ Rays, Amantika Graphic & Design, Persatuan Pemilik Trak Navara Sabah (PPTNS) dan Jabatan Tranfunsi Hospital Queen Elizabeth.

“Marilah kita sama-sama menunaikan tanggungjawab sosial ini dan kami amat mengharapkan sokongan orang ramai agar sama-sama menderma darah untuk membantu pihak hospital mendapatkan bekalan darah,” katanya.

Tambah Alix pihak penganjur juga telah menyediakan ‘goodies’ beras 5 kilogram kepada 200 penderma terawal.